TAMAN
HERBA
SUMMER
PALACE D’MUNSHI
SMK
MUNSHI ABDULLAH
SEJARAH TAMAN HERBA
Taman
Herba merupakan sebahagian daripada Taman Agro yang asalnya terletak di kawasan
lapang antara Bengkel MPV dan Bengkel KHB. Taman Agro menjadi induk kepada
taman-taman lain iaitu Taman Herba, Taman Agro Pertanian dan Taman Agro
Intergrasi PPKI. Pelbagai jenis pokok diusahakan di Taman Herba ini. Namun atas
faktor-faktor cuaca yang panas, kos pengurusan yang tinggi, kawasan yang tidak
produktif dan berbatu-batu, menyebabkan Taman Herba ini dipindahkan berdekatan
dengan Taman Agro Pertanian [ lokasi pelaksanaan pdpc amali mata pelajaran
Sains Pertanian dan KHB Tingkatan 1
hingga 3] dan juga berdekatan dengan Taman Agro Intergrasi PPKI. Semasa
Tuan Haji Jaluli bin Haji Yahya menjadi pengetua sekolah, lokasi Taman Herba
ini dipindahkan ke tempat Taman Herba sekarang.
Penjenamaan
semula Taman Herba dibuat semasa Puan Hajah Noraini binti Haji Ibrahim menjadi
pengetua sekolah ini. Taman Herba diberi nafas baru menjadi Taman Herba Summer
Palace D’Munshi. Penjenamaan semula nama ini dibuat sempena Taman Summer Palace
di Beijing, Negara China yang berkonsepkan air, jambatan dan pokok herba. Menurut
sejarah Taman Summer Palace, seorang puteri kerajaan China yang sakit sehingga
menyebabkan kemurungan telah menjadi sembuh daripada penyakitnya apabila
mengamalkan pemakanan herba. Suasana nyaman dan tenang taman tersebut juga
membantu tuan puteri tersebut mengalami proses penyembuhan penyakit dengan baik
sehingga tuan puteri tersebut sembuh.
Sehubungan
dengan itu, taman herba sekolah dinamakan sebagai Taman Herba Summer Palace
D’Munshi sebagai satu cara menarik warga sekolah agar mementingkan perubatan
tradisional dan suasana yang nyaman dan tenang dalam kehidupan seharian agar
selalu sihat dan segar di samping perubatan moden. Lagipun masyarakat negara
kita dahulu mementingkan perubatan
tradisional sebelum adanya perubatan moden. Sekarang, cara perubatan
menggunakan herba ini merupakan satu alternatif dalam dunia perubatan.
Taman
Herba Summer Palace D’Munshi ini mempunyai lebih daripada 50 jenis pokok herba
yang boleh dikategorikan kepada herba dapur, ulam-ulaman, herba Inggeris dan
herba perubatan tradisional. Contoh herba dapur ialah halia, lengkuas, daun
kari, cekur dan kunyit. Ulam-ulaman pula seperti daun kaduk, daun selum,
pegaga, ulam raja, kacang botol dan daun tenggek burung. Herba perubatan
tradisional pula seperti serai wangi, pecah kaca, hempedu bumi, mengkudu,
manjakani dan lempuyang. Herba Inggeris seperti pudina, rosmerry, stevia, lemon balm, oregano, golden potho dan
rosmerry.
PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN
Taman
Herba Summer Palace D’Munshi merupakan kawasan taman yang dikelilingi oleh
pokok-pokok herba yang dilindungi oleh jaring hitam penahan pancaran dan
kepanasan cahaya matahari menjadikan kawasan taman redup dan nyaman. Terdapat
pula dua buah kolam dengan kawasan daratan di tengah-tengah kolam menjadikan
taman herba ini seperti tasik. Jambatan di tengah-tengah pula menambahkan
kecantikan kawasan taman. Ikan-ikan yang dipelihara dalam kolam menambahkan
panorama yang mengasyikkan. Tambahan pula, selain ikan, kolam juga terdapat
pokok selum, keladi air atau genjer, dlingo, kangkung, daun kesum dan teratai
menambahkan kecantikan landskap kawasan taman herba. Tentulah kawasan ini
menjadi antara tarikan murid, guru dan warga sekolah lainnya untuk mencari ketenangan dan
kedamaian jauh dari kesibukan belajar dan bekerja. Selain itu, panorama indah
ini menjadi salah satu lokasi untuk murid-murid
melukis. Tambahan pula, Anjung Seni adalah bersebelahan dengan taman
herba ini. Taman ini juga berdekatan dengan tandas murid perempuan dan tentulah
mereka rasa nyaman dan selesa apabila ke tandas. Sebahagian murid terutamanya
murid berhampiran kawasan taman ini, menjadi kawasan jambatan dan tempat duduk
batu sebagai lokasi untuk bersantai sambil makan pada waktu rehat.
Selain
itu, khasiat ulam-ulaman yang ada di taman herba itu dimanfaatkan oleh murid,
guru dan warga sekolah lainnya. Mereka boleh mendapatkan daun kesum, daun kari,
daun pandan, daun kunyit malah serai sebagai bahan masakan. Daun selum, kacang
botol dan temu pauh menjadi ulaman pilihan murid-murid dan guru. Malah, daun
sirih yang ada ditanam dijadikan ubat dan sirih junjung upacara perkahwinan
adat Melayu. Tambahan pula, ada warga sekolah yang mengambil daun inai untuk
membuat inai di jari. Selain itu, daun lempoyang, daun serai wangi, daun
pandan, daun lengkuas, daun temu pauh dan daun-daun lain dijadikan ramuan untuk
mandian ibu dalam pantang selepas bersalin.
Tak
ketinggalan juga, daun hempedu bumi dijadikan sebagai teh yang direndam air
panas sebagai salah satu cara mengurangkan kencing manis yang dialami oleh
beberapa orang guru. Seterusnya, pokok
bunga raya taman herba ini dijadikan sebagai bahan utama untuk uji kaji/amali
mata pelajaran Sains Tingkatan Lima dan pokok keembung untuk mata pelajaran
Biologi.
Guru-guru
dan dan seluruh warga sekolah boleh mendapatkan anak pokok atau benih daripada
taman herba ini.Contohnya, anak pokok pandan, pokok selasih, kemangi, selum,
kesum dan sebagainya untuk ditanam di rumah masing-masing. Malah ada menjadikan
daun ketepeng atau gelenggang besar sebagai ubat pencegah kegatalan kulit.
Pokok brotovali yang terkenal dengan kepahitannya sebagai cecair pisah susu
untuk kanak-kanak.
Malah
Taman Herba ini menjadi lokasi lawatan rombongan murid dari Indonesia dan
Singapura pada tahun lepas.
Kesimpulannya,
warga sekolah tidak kira sama ada murid, guru, para pekerja pejabat dan pekerja
swasta pernah mendapatkan perkhidmatan daripada pokok-pokok herba di Taman
Summer Palace D’Munshi ini. Semoga taman herba ini akan terus wujud dan tumbuh
dengan subur walaupun menghadapi kekangan seperti cuaca panas yang kering dan
haiwan perosak yang merosakkan pokok di taman herba ini.
No comments:
Post a Comment