Saturday 31 March 2018

KERAJAAN AWAL DI ASIA TENGGARA

KERAJAAN AWAL DI ASIA TENGGARA

Kerajaan Awal Asia Tenggara

          Asia Tenggara wujud dalam dua  bentuk iaitu Tanah Besar Asia Tenggara dan Kepulauan Asia Tenggara. Kebanyakan kerajaan di Tanah Besar ialah kerajaan agraria dan kepulauan ialah kerajaan maritim. Kerajaan awal di tanah besar Asia Tenggara seperti Kerajaan Sukhotai, Ayuthia dan Funan, Chenla dan Angkor. Kerajaan ini disebut sebagai kerajaan Agraria yang ekonominya berasaskan pertanian, penternakan dan mengutip hasil hutan. Kerajaan kepulauan pula wujud di dua pulau iaitu Kepulauan Indonesia seperti Majapahit, Srivijaya dan Mataram. Sebuah lagi kerajaan kepulauan ialah di Kepulauan Tanah Melayu seperti Gangga Negara, Langkasuka, Kedah Tua atau Lembah Bujang. Kerajaan awal ini wujud sejak abad ke-2 sebelum masiihi hingga ke-7 sebelum masihi.

        Bukti wujudnya kerajaan Awal Asia Tenggara ini ialah berbentuk artifak dan sumber bertulis. Yang paling awal ialah kewujudan kerajaan Funan yang dikaitkan dengan adanya jumpaan arca berunsur Hindu dan Buddha yang dipengaruhi oleh langgam Amaravati dari India. Ini menunjukkan sudah ada hubungan perdagangan dengan India. Selain itu ialah wujudnya bukti gendang gangsa di kerajaan awal seperti yang ada di kerajaan yang wujud ketika itu. Contohnya ialah gendang gangsa Dongsong di Tanah Melayu[ Besut, Kota Tinggi, Sungai Tembeling, Batu Buruk],Myanmar, Indonesia dan Thailand seperti yang terdapat di Dongsong, Vietnam. Selain itu ialah jumpaan manik dan tembikar yang menunjukkan wujudnya kerajaan di Asia Tenggara yang melakukan perdagangan  dan diplomatik dengan Eropah [Kerajaan Rom], China dan India. Ini menunjukkan sudah ada kemahiran membuat kapal layar dan perahu.

Kerajaan Agraria

          Kerajaan Agraria bermula dengan wujudnya petempatan kekal di kawasan tanah subur seperti di lembah sungai, di tepi tasik dan kawasan tanah tinggi yang diteres. Contohnya ialah kerajaan Angkor. Kegiatan ekonomi paling utama dalam Kerajaan Agraria ini berasaskan pertanian seperti padi sawah dan padi huma, lada hitam, jagung, keledek dan pelbagai sayuran dan buah-buahan yang lain. Selain itu, ada penternakan seperti lembu, ayam dan kambing. Mengutip hasil hutan seperti kapur barus, damar dan rotan juga dijalankan di samping sarang burung. Tidak lupa juga dijalankan kegiatan menangkap ikan sebagai sumber protein di sawah padi, sungai atau tasik di samping mendapatkan kulit kura-kura.

         Faktor utama wujudnya kerajaan agraria kerana adanya tanah yang subur di lembah sungai atau tasik dan tanah tinggi yang diteres. Di samping itu, terdapatnya sungai seperti Sungai Mekong sebagai sumber air untuk pengairan sawah, alat pengangkutan, mendapatkan bekalan protein dan kegunaan domestik. Malah pemerintah di Angkor membina sistem terusan/ barray untuk mengairi sawah seperti yang dilakukan oleh Raja Indravarman I sehingga mampu mengairi sawah seluas 12.5 juta ekar. Selain sungai, sumber air juga didapati daripada tasik seperti Tasik Ton Le Sap. Iklim di kawasan kerajaan agraria juga sesuai untuk pertanian.

         Kerajaan Angkor merupakan kerajaan agraria yang terkenal dan kuat kerana mempunyai Tasik Ton Le Sap dan sumber air dari Sungai Mekong. Pada musim banjir, keluasan tasik akan menjadi besar dan pada musim kemarau keluasan tasik akan mengecil. Terdapat sumber protein utama di tasik ini juga membekalkan kawasan pertanian yang subur sehingga berupaya membekalkan makanan kepada penduduk setempat dan diperdagangkan.


Kerajaan Maritim


        Kerajaan maritim terletak di kawasan lembah sungai, pesisir pantai dan kepulauan seperti Langkasuka, Kedah Tua, Srivijaya dan Kataha. Perkembangan kerajaan maritim ini bermula dengan perkampungan nelayan sehingga pelabuhan yang menjadi tumpuan orang/ pedagang  yang membekalkan bahan dagangan kepada penduduk kawasan lain dan setempat. Perkampungan nelayan ini menjadi pelabuhan pembekal. Jika wujud kerajaan, pelabuhan ini menjadi pelabuhan kerajaan seperti Srivijaya, Kedah Tua dan Champa. Pertambahan bahan mentah sebagai barang dagangan dan kedatangan pedagang dari luar negara menjadikan fungsi pelabuhan ini berubah aktiviti di pelabuhan. Kegiatan eksport dan import berlaku sehingga menjadi pelabuhan entrepot/ antarabangsa.

         Faktor yang menyebabkan kerajaan maritim menjadi tumpuan utama ialah kedudukan yang strategik di tengah laluan perdagangan utama Timur- Barat[ China - India] dan terlindung daripada angin monsun. Selain itu, terdapat barang dagangan utama seperti logam [emas dan timah], hasil hutan, hasil dari kerajaan lain, pelabuhan yang ada kemudahan mendapatkan makanan, memperbaiki kapal dan barang dagangan. Faktor lain ialah kerana ada ramai rakyat yang terdiri daripada orang tempatan, pedagang dan orang laut. Ini menjadikan banyak bahasa yang dipertuturkan dalam perhubungan masyarakat maritim. Bahasa Melayu menjadi medium utama perhubungan sehingga digelar lingua franca. Faktor lain kerana masyarakat suka belayar dan meneroka tempat lain dengan adanya kemahiran membuat perahu dan kapal layar.

           Kerajaan Srivijaya merupakan kerajaan maritim yang terkenal kerana ada tentera laut yang besar mengawal pelabuhan, keselamatan perdagangan dan kerajaan. Kedudukannya yang strategik menjadikan pelabuhan Srivijaya menjadi tumpuan persingahan pedagang luar seperti dari China dan India.Catatan I-Tsing juga mengatakan pelabuhan Srivijaya dikenali kerana mampu menghasilkan kapal besar.

           Kerajaan Kedah Tua/Lembah Bujang juga terkenal sebagai kerajaan maritim yang kuat. Ini kerana adanya pelabuhan entrepot yang memperdagangkan banyak barang dagangan, kedudukan yang strategik kerana terletak di tengah perjalanan perdagangan antara China-India, terlindung daripada tiupan angin Monsun Barat Daya dan adanya Gunung Jerai sebagai tunjuk arah ke pelabuhan.


Saling melengkapi Kerajaan Agraria dan Maritim

Kerajaan Agraria membekalkan kayu[ dari Pegu, Burma] untuk membuat kapal di samping gajah untuk kenderaan raja. Selain itu, kerajaan ini membekalkan bahan mentah seperti hasil hutan, hasil protein, makanan iaitu padi dan buruh/tukang kayu dan tukang batu kepada kerajaan maritim.

Kerajaan Maritim pula membantu kerajaan agraria memperdagangkan bahan mentah ke luar negara dan mendapatkan barangan mewah seperti emas, tekstil, sutera dan tembikar.