Tuesday 2 May 2017

Kejohanan Olahraga SMK Munshi Abdullah Kali ke-43, 2017

Kejohanan Olahraga SMK Munshi Abdullah untuk kali ke-43 bagi tahun 2017 telah berlangsung pada 17 Februari 2017. Kejohanan ini telah  berlangsung pada hari Jumaat dari pukul 7.20 pagi sehingga tamat kejohanan iaitu pada pukul 12.30 tengah hari. Kejohanan ini berlangsung di padang sekolah SMK Munshi Abdullah yang dihadiri oleh seluruh warga Munshi Abdullah iaitu murid dan guru tidak ketinggalan kakitangan pejabat dan pekerja swasta.

Objektif kejohanan kali ini adalah untuk memupuk semangat yang padu dalam kalangan guru, murid dan  masyarakat setempat. Selain itu, melahirkan warga SMK Munshi Abdullah yang cergas dan cerdas selain mencungkil bakat larian murid dalam Kejohanan Olahraga MSSD di peringkat daerah, negeri dan seterusnya. Objektif lain adalah mendidik murid untuk mematuhi peraturan kejohanan.

Sejak awal pagi lagi, semua warga Munshi berkumpul di Dataran Sihat. Murid-murid telah mendengar motivasi untuk bertanding dengan bersungguh-sungguh yang disampaikan oleh Setiausaha Sukan iaitu Encik Roslizam dan Penolong Kanan Kokurikulum iaitu Encik Kamaruzaman bin Ahmad.Tidak ketinggalan barisan pentadbir lain seperti Tuan Pengetua, Penolong Kanan Pentadbiran dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid  juga Penolong Kanan Pendidikan Khas Intergrasi juga semua guru kanan memberikan semangat kepada para peserta untuk bertanding dengan bersungguh-sungguh dan semangat kesukanan.

Acara bermula dengan perbarisan masuk semua ahli rumah sukan didahului oleh pembawa bendera kejohanan, pembaca ikrar kejohanan dan bendera rumah sukan iaitu rumah biru, kuning, hijau dan merah. Yang Dipertua PIBG SMK Munshi Abdullah diiringi oleh Tuan Pengetua telah menerima tabik hormat semua ahli rumah sukan. Walaupun semua persediaan dibuat dalam masa yang singkat namun temasya olahraga kali ini disambut dengan ceria dan meriah.

Sebelum acara kemuncak Kejohanan Olahraga diadakan, acara saringan telah dijalankan selama tiga hari bermula pada hari Isnin sehinggalah hari Rabu. Acara yang dipertandingkan adalah meliputi acara balapan seperti 100 meter, 200 meter, 400 meter,800 meter, 1500 meter, lari 4 x 100 meter dan 4 x 400 meter semua kategori  iaitu Lelaki Kelas Satu, Lelaki Kelas Dua, Lelaki Kelas Tiga, Perempuan Kelas Satu, Perempuan Kelas Dua dan Perempuan Kelas Tiga. Selain itu juga, acara padang juga dipertandingkan seperti lompat jauh, lompat tinggi, lempar cakera, merenjam lembing dan melontar peluru semua kelas. Tidak ketinggalan juga larian 100 meter murid Pendidikan Khas dijalankan. Selain acara 100 meter dan 4  x 100 meter, acara lain yang ditunggu-tunggu ialah acara tarik tali akhir iaitu antara rumah biru dan hijau yang akhirnya dimenangi oleh rumah biru.

Upacara penyampaian hadiah dilangsungkan dari semasa ke semasa iaitu setelah tamat sesuatu acara berlangsung pada hari kejohanan. Upacara kemuncak penyampaian hadiah diadakan pada waktu akhir kejohanan iaitu kemenangan rumah hijau sebagai Johan Rumah Sukan untuk tahun 2017. Semoga Kejohanan Olahraga SMK Munshi Abdulllah akan terus diadakan dan dilangsungkan dengan lebih meriah lagi.



No comments:

Post a Comment