Saturday 5 January 2019

Bab 8 Tingkatan Lima : Pembangunan dan perpaduan untuk kesejahteraan



BAB 8 TINGKATAN LIMA SEJARAH 3
1.      Jelaskan latar belakang Pembangunan Ekonomi.
Pembangunan ekonomi di negara kita dilaksanakan melalui Rancangan Pembangunan Lima Tahun oleh Kerajaan Perikatan sejak sebelum merdeka lagi.Permulaannya hanya meliputi kawasan luar bandar sahaja.Dasar Ekonomi Baru[DEB] pula diperkenalkan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tanpa mengira kaum. DEB dilaksanakan melalui Rancangan Pembangunan Lima tahun iaitu dari tahun 1970 sehingga 1990.Selepas itu diganti oleh Dasar Pembangunan Nasional untuk menyambung hasrat DEB sehingga tahun 2000. Banyak dasar pembangunan dan agensi kerajaan diwujudkan secara  bersepadu untuk memastikan kejayaan pembangunan ekonomi negara. Rancangan Pembangunan Lima Tahun telah dilaksanakan melalui dua tahap iaitu tahap pertama dan tahap kedua.Rancangan Pembangunan Lima Tahun tahap kedua[1971-1990] adalah juga dikenali sebagai Rangka Rancangan Jangka Panjang 1[RRJP1] yang dilaksanakan semasa DEB dilaksanakan.

2.      Latar belakang Rancangan Pembangunan Lima Tahun.
Rancangan Pembangunan Lima Tahun mempunyai dua tahap iaitu Tahap Pertama bermula pada tahun 1956 sehinggalah 1970 iaitu Rancangan Malaya Pertama[1956-1960],Rancangan Malaya Kedua[1961-1965] dan Rancangan Malaysia Pertama[1966-1970].Penukaran nama ini ekoran pembentukan Malaysia pada tahun 1963 dengan penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia.
Rancangan Pembangunan Tahap Kedua dikenali juga sebagai Rangka Jangka Panjang 1[RRJP1] yang diperkenalkan pada 1971 sehingga 1990 iaitu meliputi Rancangan Malaysia Kedua[1971-1975],Rancangan Malaysia Ketiga[1976-1980],Rancangan Malaysia Keempat[1981-1985] dan Rancangan Malaysia Kelima[1986-1990] Rancangan pembangunan ini dirancang untuk selama lima tahun.

3.      Huraikan peranan agensi berikut
a.       FELDA
Peranan Felda adalah untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar dan meningkatkan hasil pertanian negara.Selain itu,tanah negara dibuka secara besar-besaran untuk aktiviti pertanian dan sebagai petempatan baharu yang dilengkapi kemudahan asas.Penduduk luar bandar yang miskin dipindahkan ke petempatan ini dan menjadi petani moden.Jenis tanaman yang diberikan tumpuan ialah tanaman dagangan untuk dieksport iaitu getah dan kelapa sawit yang juga menjadi komoditi utama negara.
b.      MARA
Mara ditubuhkan untuk menggantikan RIDA, yang ditubuhkan pada 1 Mac 1966 yang bermatlamat untuk membantu bumiputera dalam sektor perdagangan dan perindustrian.Mara menggunakan beberapa strategi iaitu membantu usahawan bumiputera dan menambah guna tenaga bumiputera selain meningkatkan ekuiti bumiputera.Selain itu, Mara menyediakan kemudahan asas kepada bumiputera dalam mencapai matlamat Mara.


4.      Terangkan perkembangan Rancangan Pembangunan Lima Tahun Tahap Kedua.
Perkembangan Pembangunan Lima Tahun Tahap Kedua dimulakan dengan Rancangan Malaysia Kedua iaitu bermula dari tahun 1971-1975 dan merupakan rancangan lima tahun yang pertama dalam Dasar Ekonomi Baru[DEB].Matlamatnya adalah untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial antara kaum,kawasan dan wilayah.Tumpuan diberikan terhadap usaha membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menambahkan pendapatan dan menyediakan peluang pekerjaan.Selain itu, merapatkan jurang ekonomi dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Program pembangunan kawasan luar bandar sebelum ini diteruskan.
Beberapa agensi di bawah Kementerian Tanah dan  Kemajuan Wilayah ditubuhkan untuk melaksanakan program pembangunan wilayah. Agensi lain ditubuhkan untuk membantu petani, menggalakkan perusahaan perdagangan dan memajukan bandar. Agensi tersebut adalah seperti LPN tahun 1971 untuk menstabilkan harga padi dan LKIM  juga ditubuhkan pada tahun 1971 bagi membangunkan dan memodenkan industri perikanan dan meningkatkan taraf hidup nelayan. UDA ditubuhkan juga pada 1971 untuk membangunkan bandar. PKEN pula untuk menggalakkan perindustrian dan perdagangan dengan menyediakan tapak perindustrian, perumahan, ruang pejabat dan kedai.RISDA pula ditubuhkan pada tahun 1973 untuk membantu pekebun kecil getah dari segi penyelidikan dan penanaman semula getah. LLP [1973] untuk membantu golongan petani dalam kegiatan koperasi dan akhir sekali Petronas yang ditubuhkan pada 1974 ditubuhkan adalah untuk memajukan sektor industri dan perniagaan berkaitan dengan petroleum.

Rancangan Malaysia Ketiga[RMK3] [1976-1980]
RMK3 merupakan lanjutan daripada Rancangan Malaysia Kedua. Matlamatnya masih mendokong hasrat DEB dalam usaha membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.Pembangunan pertanian dan perindustrian diteruskan dengan meningkatkan produktiviti, membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Pembukaan tanah secara besar-besaran di bawah program pembangunan wilayah seperti KEJORA,KETENGAH,KESEDAR dan DARA dibuat. Tumpuannya adalah untuk penanaman getah dan kelapa sawit untuk tujuan eksport. Agensi pembangunan wilayah meluaskan peranannya dalam sektor pembangunan industri dan pembangunan bandar baharu.

Rancangan Malaysia Keempat[RMK4] [1981-1985]
RMK4 ditubuhkan masih mendukung hasrat DEB yang dilancarkan ketika dunia mengalami kelembapan ekonomi. Namun,RMK4 meneruskan program pembangunan ekonomi dalam RMK3 dengan memberikan tumpuan kepada perkembangan industri berat berasaskan pelaburan modal dan penggunaan teknologi tinggi dan keperluan tenaga pekerja mahir. Kerajaan menubuhkan Perbadanan Industri Berat Malaysia[HICOM] pada akhir tahun 1980 bagi mengenal pasti, memulakan dan menguruskan projek industri berat dengan cekap seperti yang dikendalikan oleh sektor swasta. Bagi menggiatkan perindustrian dan menggalakkan pelaburan modal asing, kawasan perusahaan baharu telah dibuka seperti Skudai di Johor, Senawang di Negeri Sembilan serta Menggatal dan Likas di Sabah. Zon Perdagangan Bebas juga diwujudkan seperti di Bayan Lepas dan Sungai Way. Kerajaan juga melancarkan Kajian Dasar Perindustrian Malaysia dan Pelan Induk Perindustrian. Dasar Pengswastaan dan Dasar Persyarikatan Malaysia juga ditubuhkan bagi memajukan lagi perkembangan ekonomi negara. PNB dan ASN ditubuhkan bagi tujuan menyeimbangkan pemilikan harta dan saham perindustrian antara kaum bumiputera dengan kaum bukan bumiputera. Dasar Pertanian Negara[DPN] turut ditubuhkan untuk memodenkan dan menggiatkan semula sektor pertanian secara bersepadu. Rancangan pembangunan ini berjaya mencatat peningkatan dalam KDNK dengan kadar 5.8% setahun dan pendapatan perkapita meningkat pada kadar 4.4% setahun menjadi RM4000 juta pada tahun 1985.

Rancangan Malaysia Kelima[RMK5] [1986-1990]
RMK5 merupakan rancangan lima tahun yang terakhir untuk mencapai hasrat DEB yang genap 20 tahun pada tahun 1990 dengan cara meningkatkan sektor perindustrian dengan melonggarkan peraturan mengawal hak milik syarikat dan pelesenan dalam sektor swasta. Selain itu, melonggarkan syarat pelaburan modal asing untuk meningkatkan pelaburan sektor perindustrian berorentasikan eksport. Kerajaan berusaha meningkatkan kecekapan pengurusan agensinya agar dapat bekerjasama dengan sektor swasta dengan lebih berkesan dengan memberikan perhatian kepada pembangunan luar bandar. Selain itu,mengutamakan penggunaan tanah dengan lebih cekap untuk pertumbuhan ekonomi negara dengan menggalakkan industri desa seperti kraf tangan.Selain itu juga dengan memberikan kemudahan kredit dan insentif melalui Bank Pertanian Malaysia, Skim Pinjaman Khas Pertanian dan Amanah Ikhtiar Malaysia.Sektor pelancongan juga menjadi antara perusahaan penting dengan Perbadanan Pelancongan Malaysia[TDC] ditubuhkan bagi menggalakkan industri pelancongan.Tahun Melawat Malaysia dilancarkan pada tahun 1990 bagi menjayakan lagi industri pelancongan Malaysia.Selain itu juga, negara memajukan bidang penyelidikan dan pembangunan [R&D] untuk meningkatkan keupayaan dan kecekapan guna tenaga tempatan untuk meningkatkan produktiviti.

5.      Dasar Pembangunan Ekonomi
a.       Dasar Pertanian Negara[DPN]
DPN dilancarkan pada 12 Januari 1984. Dasar ini ditubuhkan dengan matlamat untuk meningkatkan pendapatan sektor pertanian kepada tahap maksimum melalui sumber ekonomi negara yang cekap selain memaksimumkan pendapatan pekebun kecil dan memajukan komoditi utama yang berpotensi untuk dieksport. Antara strategi DPN adalah menggalakkan pembukaan tanah baru oleh Felda,agensi pembangunan wilayah dan kerajaan negeri. Program pembangunan in-situ diwujudkan untuk memulihkan kawsan yang berproduktiviti rendah dan merupakan strategi  meningkatkan produktiviti kawasan pertanian yang telah sedia ada. Projek bersepadu di seluruh negara yang dibuat seperti KEMUBU,Johor Barat, Kelantan Utara dan Selangor Barat. Program ini dibuat adalah untuk menyediakan khidmat sokongan pertanian dan pemasaran,kredit, subsidi dan penyelidikan. Pihak swasta juga  terlibat dalam program pengswastaan  pertanian oleh Kementerian Pertanian.


b.      Dasar Persyarikatan Malaysia[DPM]
Matlamat DPM yang ditubuhkan pada 25 Februari 1983 ini adalah untuk merangsang penglibatan sektor swasta secara aktif dan berkesan dalam pembangunan ekonomi.Dasar ini menganggap Malaysia ialah sebuah syarikat yang dimiliki bersama oleh kerajaan dan pihak swasta. Semua kakitangan kerajaan dan swasta yang terlibat ialah pemilik saham dan pekerja dipertanggungjawabkan untuk memajukan syarikat ini iaitu Malaysia.Sebuah panel perunding antara pihak kerajaan dengan swasta ditubuhkan. Pegawai kerajaan ditempatkan di syarikat swasta untuk menjalinkan hubungan perkongsian kepakaran. Pihak swasta pula diperlukan untuk memahami dasar kerajaan dan mengutamakan kepentingan nasional dalam aktiviti ekonomi di samping mendapatkan keuntungan yang maksimum. Pihak kerajaan bertindak memberi perkhidmatan sokongan bagi memudahkan operasi pihak swasta.

c.       Dasar Pengswastaan[DP]
Dasar ini diperkenalkan pada Mac 1983 oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr. Mahadhir Mohamad. Melalui dasar ini, kerajaan memindahkan perkhidmatan, perusahaan, pelaburan dan kuasa tertentu kepada sektor swasta. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan. Kesannya, kerajaan  boleh mengalihkan tumpuan untuk membangunkan sektor lain. Tujuan lain adalah untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan atau barangan. Ini kerana, pihak swasta dianggap kebih cekap daripada sektor kerajaan untuk menguruskannya. Dasar Pengswastaan ini diyakini boleh mempercepat pembangunan ekonomi negara melalui pelaburan modal swasta. Unit Perancang Ekonomi[UPE] bertindak sebagai jawatan kuasa pengswastaan  yang memberi garis panduan kepada sesebuah kementerian atau jabatan  yang ingin menjalankan Dasar Pengswastaan. Dasar ini  boleh dilaksanakan secara sepenuhnya atau secara sebahagian seperti yang dilaksanakan oleh Syarikat Tenaga Nasional Berhad[TNB] dan Syarikat Airod Sdn. Bhd.

d.      Dasar Hala Tuju Cara Baru
Dasar Hala Tuju Cara Baru ialah pendekatan baharu  untuk membangunkan kawasan luar bandar. Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan pendapatan petani dan pekerja desa melalui penglibatan mereka dalam pelaburan yang dilaksanakan dalam tiga strategi iaitu dengan mengelompokkan kampung-kampung menjadi kawasan penempatan yang besar supaya segala kemudahan dapat disediakan dan ekonomik. Strategi kedua adalah dengan meningkatkan pendapatan petani dan pekerja desa melaui program usahawan desa. Strategi yang ketiga ialah pelaksanaan projek pembangunan oleh agensi kerajaan untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.



e.       Dasar Peningkatan Daya Pengeluaran Negara[DPDPN]
Matlamat dasar yang diperkenalkan  ini adalah untuk mencapai kadar tahap pertumbuhan ekonomi  berterusan walaupun negara menghadapi pelbagai cabaran. Pembaziran bahan, masa, wang, usaha dan tenaga akan dielakkan semasa penggunaan sumber tenaga dijalankan. Peningkatan hasil pendapatan negara penting untuk meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi secara berterusan dan meningkatkan pendapatan negara. Selain itu,untuk memastikan penggunaan  sumber negara pada tahap maksimum  bagi mengelakkan sebarang pembaziran di samping memastikan  sektor perindustrian dapat bersaing pada peringkat global. Strategi yang dibuat adalah membaiki sistem pengurusan operasi, struktur organisasi, penggunaan teknologi terkini dan penerapan nilai dan etika kerja yang murni.

f.       Dasar Kependudukan
Dasar Kependudukan diperkenalkan pada 29 Mac 1984 oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad, bermatlamat untuk mencapai sasaran 70 juta penduduk menjelang tahun 2100. Pertumbuhan penduduk dalam jangka masa panjang akan memberikan kesan yang positif seperti bekalan tenaga kerja, peningkatan produktiviti dan peluasan pasaran, kekuatan politik dan keselamatan negara. Ini kerana dasar ini menitikberatkan kadar pertumbuhan penduduk dengan peningkatan pembangunan sosioekonomi negara khasnya yang berkaitan dengan kemudahan pendidikan, perumahan, kesihatan dan peluang pekerjaan. Program ini didasarkan pada unjuran jumlah penduduk untuk memastikan pertambahan jumlah penduduk tidak mendatangkan masalah kepada negara.


No comments:

Post a Comment