Thursday 3 May 2018

Kampung Sungai Ayer Tawar

            Kampung Sungai Ayer Tawar terletak di Mukim Bagan Nakhoda Omar iaitu di DUN Sungai Air Tawar dalam daerah Sabak Bernam, Selangor Darul Ehsan.Kampung ini terletak di sepanjang Sungai Bernam dan berhampiran  dengan negeri Perak Darul Riduan khususnya Hutang Melintang. Ketua Kampung  SungaI Ayer Tawar atau JKKKP(N)  ialah Encik Shuhada bin Ismail dan JKKKP(P) ialah Tuan Haji Mohd. Safuan bin Haji Dimyati sementara di Kampung Dato' Hormat ialah Encik Omar bin Muslim.

           Motto JKKKP Kampung Sungai Ayer Tawar ialah Kuat Berusaha Pasti Berjaya dan visinya ialah petama meningkatkan sosioekonomi dan perkapita penduduk. Selain itu adalah membasmi buta huruf dalam kalangan penduduk dan membanteras gejala sosial selain mengeratkan hubungan kemasyarakatan, mengimarahkan masjid dan surau serta melahirkan belia aktif,  berdaya saing dan berketrampilan. Visi lain adalah memberikan keselesaan insfrastruktur, prihatin kepada penduduk daif, miskin dan terabai. Menghormati warga emas dan peka kepada pembangunan kemudahan asas juga merupakan visi JKKKP kampung.

            Menurut catatan Sjarah, Kampung Sungai Ayer Tawar mula diteroka pada awal abad ke -20 iaitu pada tahun 1918 oleh sekumpulan peneroka yang berasal dari Indonesia iaitu Tanah Jawa yang diketuai oleh Pak Bolkin. Asalnya, kumpulan peneroka ini meneroka di kawasan Bagan Datuk. Kemudian mereka berpindah ke Sungai Air Tawar dan meneroka kawasan kampung ini dengan membuka satu kawasan petempatan baru khususnya kawasan pertanian. Keadaan geografi yang bertanah rendah, lembap dan berpaya, menjadikan mereka menetap di kampung  ini. Daripada kawasan berpaya dengan hutan belukar, mereka menjadikan kawasan kampung sebagai kawasan bercucuk tanam dengan padi secara besar-besaran dan kawasan penempatan penduduk. Asal nama Sungai Ayer Tawar diambil bersempena dengan nama sebatang sungai yang terdapat di kampung ini yang mengalir ke Sungai Bernam dan airnya tawar/tidak masin.

          Tuan Haji Abdul Rahman bin Haji Ehsan ialah ketua kampung Pertama kampung ini dan arwah telah berkhidmat dari tahun 1919 hingga  tahun 1962. Pada tahun 1921, DYMM Sultan Selangor telah melantik Kulop Aabdu;l Rahman bin Salleh sebagai Penghulu manakala Abu Bakar @ Haji Mustafa bin Alias sebagai Imam dan Juru Nikah.

        Pekan kecil Sungai Ayer Tawar diwujudkan pada tahun 1922 dan pada 2 September 1923, Persekolahan Sekolah Melayu Sungai Ayr Tawae dimulakan atas daya usaha penduduki kampng dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Selangor Darul Ehsan. Pada tahun 1926 pula, Balai Polis Sungai Ayer Tawar pula dibina bagi memantau dan menjaga keselamatan penduduk kampung di lokasi sekarang ini. Pembinaan masjid pula dibina pada tahun 1927 di tanah wakaf Haji Abdul Rahman bin Haji Ehsan dan penduduk kampung dan sempurna pembinaannya pada tahun 1932 dengan keluasan 240 kaki persegi.

       Pada tahun 1930, tanaman kelapa diperkenalkan di kampung ini setelah penanaman padi tidak menjadi akibat serangan haiwan liar. Pada tahun 1950, pekan Sungai Ayer Tawar telah dinaiktaraf kepada Local Council atau Majlis Tempatan. Hasil kesepakatan dengan masyarakat Cina yang membuka petempatan di sepanjang sungai, Sekolah Cina Moon Teck telah dibina pada tahun 1955 di lokasi yang ada sekarang. Pada tahun 1974, Majlis Daerah Sabak Bernam telah mengambil alih pentadbiran Sungai Ayer Tawar.


        Perkembangan Kampung Ayer Tawar berlaku setiap tahun dan mempunyai penduduk pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India. Mereka berbaik-baik antara satu sama lain dengan menjadikan aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri-kendara, sukan dan gotong-royong sebagai amalan penduduk. Semangat perpaduan antara penduduk inilah yang menjadikan kampung ini dalam keadaan aman dan harmoni. Selaras juga dengan saranan Perdana Menteri Pertama Malaysia yang menghendaki penduduk Persekutuan Tanah Melayu hidup berbaik-baik antara satu sama lain. Secara tidak langsung dapat membangunkan keadaan sosioekonomi penduduk kampung.;

1 comment: