Saturday 5 May 2018

Kampung Sungai Tengar

           Kampung Sungai Tengar merupakan salah sebuah kampung dalam Mukim Sungai Ayer Tawar, iaitu di daerah Sabak Bernam. Lokasi kampung ini terletak di Utara Negeri Selangor dan di pantai barat Semenanjung Malaysia. Kira-kira s kilometer ke arah sebelah barat kampung ini ialah Selat Melaka dan di utaranya pula ialah Sungai Bernam. Kampung Sungai Tengar terbahagi kepada dua bahagian iaitu Kampung Sungai Tengar Utara dan Kampung Sungai Tengar Selatan.
           Kampung ini dibuka sekitar tahun 1910 oleh orang Jawa dan orang Kampar dari Indonesia. Mereka datang menggunakan sampan dan sebahagian daripada mereka menumpang kapal dagang secara berkumpulan. Mereka menggunakan peralatan tradisional seperti kapak dan gergaji buatan sendiri untuk membuka kawasan hutan menjadi kawasan petempatan dan pertanian seperti tanaman kelapa.
           Asal usul nama kampung ini dipercayai dari nama sebatang kayu Tengar yang hidup subur di kawasan Kuala Sungai Bernam. Satu lagi kepercayaan mengatakan kedudukan kampung ini yang berada di tengah-tengah laluan sungai Bernam dan pada awalnya dipanggil sungai Tengah dan lama kelamaan dipanggil Sungai Tengar. Namun kedua-dua cerita tersebut tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana ketiadaan bukti yang kukuh.
           Ketua kampung yang pertama di kawasan ini berasal dari Indonesia iaiatu Wak Ratiman pada sekitar tahun 1930-an. Pada tahun 1979, kampung ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Sungai Tengar Utara dan Sungai Tengar Selatan.
           Kampung saya ialah Kampung Sungai Tengar Selatan. Penduduk di kampung ini kebanyakannya ialah orang Melayu yang terdiri daripada orang Melayu, Jawa, Kampar dan Mandiling. Ada juga beberapa buah keluarga masyarakat India dan Cina. Penduduk kampung saling berbaik-baik antara satu sama lain dan bekerjasama untuk membangunkan kampung dan menjadikan kehidupan seharian harmoni. Walaupun penduduk kampung daripada pelbagai latar belakang, tetapi mereka rukun hidup. Mereka sering sepakat menjayakan sesuatu aktiviti kemasyarakatan seperti hari perayaan hari raya, kenduri-kendara, sukaneka, sukan sekolah rendah dan gotong-royong. Mereka sepakat membawa berkat dan bagai aur dengan tebing apabila memperkatakan betapa eratnya hubungan penduduk kampung saya.
          Kampung Sungai Tengar Selatan mempunyai pelbagai kemudahan asas yang disediakan oleh kerajaan seperti surau, sekolah rengah agama, sekolah rendah kebangsaan, jalan raya, kemudahan air, kemudahan telefon dan kemudahan elektrik. Ini menjadikan kehidupan seharian penduduk kampung sentiasa dalam keadaan baik sejahtera. Kemudahan bas awam dan teksi juga ada di kampung ini. Tidak ketinggalan kemudahan internet. Ini menjadikan penduduk kampung tidak ketinggalan daripada segi sistem kemudahan telekomunikasi moden.
            Aktiviti ekonomi utama kampung ini adalah dalam sektor pertanian. Ini kerana keadaan muka bumi kampung ini tanah mendatar, rata dan subur di samping iklim panas dan lembap sepanjang tahu. Ini menjadikan Kampung Sungai Tengar Selatan dikelilingi pemandangan hijau pokok-pokok kelapa, kelapa sawit, pisang dan sayur-sayuran. Kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani mengerjakan kebun sendiri atau mengambil upah di kebun penduduk yang lain. Pelbagai hasil pertanian itu dijual kepada peraih luar seperti dari Kuala Lumpur. Selain daripada itu, hasil pertanian kampung ini dijual di pasar tani di Shah Alam, Kelang dan Kuala Lumpur oleh peniaga pasar tani kampung ini sendiri. Sebahagian hasil pertanian kampung ini dijadikan bahan utama IKS seperti pisang dan ubi dijadikan kerepek pisang dan kerepek ubi pelbagai perasa. Contohnya, Hassan Adli kerepek.
           Selain menjadi petani, kegiatan ekonomi lain penduduk kampung ialah sebagai peniaga, nelayan dan kakitangan syarikat swasta dan kerajaan. Ini kerana berdekatan kampung ini terdapat institusi pendidikan terkenal seperti Politeknik Sultan Idris, Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Sabak Bernam dan Pusat Dakwah Selangor.
         

No comments:

Post a Comment