Sunday 19 January 2020


TAMAN HERBA
SUMMER PALACE D’MUNSHI
SMK MUNSHI ABDULLAH

SEJARAH TAMAN HERBA
                Taman Herba merupakan sebahagian daripada Taman Agro yang asalnya terletak di kawasan lapang antara Bengkel MPV dan Bengkel KHB. Taman Agro menjadi induk kepada taman-taman lain iaitu Taman Herba, Taman Agro Pertanian dan Taman Agro Intergrasi PPKI. Pelbagai jenis pokok diusahakan di Taman Herba ini. Namun atas faktor-faktor cuaca yang panas, kos pengurusan yang tinggi, kawasan yang tidak produktif dan berbatu-batu, menyebabkan Taman Herba ini dipindahkan berdekatan dengan Taman Agro Pertanian [ lokasi pelaksanaan pdpc amali mata pelajaran Sains Pertanian dan KHB Tingkatan 1  hingga 3] dan juga berdekatan dengan Taman Agro Intergrasi PPKI. Semasa Tuan Haji Jaluli bin Haji Yahya menjadi pengetua sekolah, lokasi Taman Herba ini dipindahkan ke tempat Taman Herba sekarang.
                Penjenamaan semula Taman Herba dibuat semasa Puan Hajah Noraini binti Haji Ibrahim menjadi pengetua sekolah ini. Taman Herba diberi nafas baru menjadi Taman Herba Summer Palace D’Munshi. Penjenamaan semula nama ini dibuat sempena Taman Summer Palace di Beijing, Negara China yang berkonsepkan air, jambatan dan pokok herba. Menurut sejarah Taman Summer Palace, seorang puteri kerajaan China yang sakit sehingga menyebabkan kemurungan telah menjadi sembuh daripada penyakitnya apabila mengamalkan pemakanan herba. Suasana nyaman dan tenang taman tersebut juga membantu tuan puteri tersebut mengalami proses penyembuhan penyakit dengan baik sehingga tuan puteri tersebut sembuh.
                Sehubungan dengan itu, taman herba sekolah dinamakan sebagai Taman Herba Summer Palace D’Munshi sebagai satu cara menarik warga sekolah agar mementingkan perubatan tradisional dan suasana yang nyaman dan tenang dalam kehidupan seharian agar selalu sihat dan segar di samping perubatan moden. Lagipun masyarakat negara kita  dahulu mementingkan perubatan tradisional sebelum adanya perubatan moden. Sekarang, cara perubatan menggunakan herba ini merupakan satu alternatif dalam dunia perubatan.
                Taman Herba Summer Palace D’Munshi ini mempunyai lebih daripada 50 jenis pokok herba yang boleh dikategorikan kepada herba dapur, ulam-ulaman, herba Inggeris dan herba perubatan tradisional. Contoh herba dapur ialah halia, lengkuas, daun kari, cekur dan kunyit. Ulam-ulaman pula seperti daun kaduk, daun selum, pegaga, ulam raja, kacang botol dan daun tenggek burung. Herba perubatan tradisional pula seperti serai wangi, pecah kaca, hempedu bumi, mengkudu, manjakani dan lempuyang. Herba Inggeris seperti pudina, rosmerry, stevia, lemon balm, oregano, golden potho dan rosmerry.

PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN
                Taman Herba Summer Palace D’Munshi merupakan kawasan taman yang dikelilingi oleh pokok-pokok herba yang dilindungi oleh jaring hitam penahan pancaran dan kepanasan cahaya matahari menjadikan kawasan taman redup dan nyaman. Terdapat pula dua buah kolam dengan kawasan daratan di tengah-tengah kolam menjadikan taman herba ini seperti tasik. Jambatan di tengah-tengah pula menambahkan kecantikan kawasan taman. Ikan-ikan yang dipelihara dalam kolam menambahkan panorama yang mengasyikkan. Tambahan pula, selain ikan, kolam juga terdapat pokok selum, keladi air atau genjer, dlingo, kangkung, daun kesum dan teratai menambahkan kecantikan landskap kawasan taman herba. Tentulah kawasan ini menjadi antara tarikan murid, guru dan warga sekolah  lainnya untuk mencari ketenangan dan kedamaian jauh dari kesibukan belajar dan bekerja. Selain itu, panorama indah ini menjadi salah satu lokasi untuk murid-murid  melukis. Tambahan pula, Anjung Seni adalah bersebelahan dengan taman herba ini. Taman ini juga berdekatan dengan tandas murid perempuan dan tentulah mereka rasa nyaman dan selesa apabila ke tandas. Sebahagian murid terutamanya murid berhampiran kawasan taman ini, menjadi kawasan jambatan dan tempat duduk batu sebagai lokasi untuk bersantai sambil makan pada waktu rehat.
                Selain itu, khasiat ulam-ulaman yang ada di taman herba itu dimanfaatkan oleh murid, guru dan warga sekolah lainnya. Mereka boleh mendapatkan daun kesum, daun kari, daun pandan, daun kunyit malah serai sebagai bahan masakan. Daun selum, kacang botol dan temu pauh menjadi ulaman pilihan murid-murid dan guru. Malah, daun sirih yang ada ditanam dijadikan ubat dan sirih junjung upacara perkahwinan adat Melayu. Tambahan pula, ada warga sekolah yang mengambil daun inai untuk membuat inai di jari. Selain itu, daun lempoyang, daun serai wangi, daun pandan, daun lengkuas, daun temu pauh dan daun-daun lain dijadikan ramuan untuk mandian ibu dalam pantang selepas bersalin.
                Tak ketinggalan juga, daun hempedu bumi dijadikan sebagai teh yang direndam air panas sebagai salah satu cara mengurangkan kencing manis yang dialami oleh beberapa orang guru. Seterusnya,  pokok bunga raya taman herba ini dijadikan sebagai bahan utama untuk uji kaji/amali mata pelajaran Sains Tingkatan Lima dan pokok keembung untuk mata pelajaran Biologi.
                Guru-guru dan dan seluruh warga sekolah boleh mendapatkan anak pokok atau benih daripada taman herba ini.Contohnya, anak pokok pandan, pokok selasih, kemangi, selum, kesum dan sebagainya untuk ditanam di rumah masing-masing. Malah ada menjadikan daun ketepeng atau gelenggang besar sebagai ubat pencegah kegatalan kulit. Pokok brotovali yang terkenal dengan kepahitannya sebagai cecair pisah susu untuk kanak-kanak.
                Malah Taman Herba ini menjadi lokasi lawatan rombongan murid dari Indonesia dan Singapura pada tahun lepas.
                Kesimpulannya, warga sekolah tidak kira sama ada murid, guru, para pekerja pejabat dan pekerja swasta pernah mendapatkan perkhidmatan daripada pokok-pokok herba di Taman Summer Palace D’Munshi ini. Semoga taman herba ini akan terus wujud dan tumbuh dengan subur walaupun menghadapi kekangan seperti cuaca panas yang kering dan haiwan perosak yang merosakkan pokok di taman herba ini.










                      

No comments:

Post a Comment