TAJUK : KASIH YANG TAK BERTEPIAN
Hujan lebat diselang seli dengan bunyi guruh, langsung
tidak menganggu tumpuan Azri. Dia tekun mengulang kaji pelajaran. Buku pelbagai
tajuk di depannya. Pen, pensel dan pemadam bersepah dibiarkan sahaja. Masa itu
emas. Tak menunggu kita. Tak sempat dia nak mengemaskan keadaan meja yang
bersepah itu. Baginya, masa terlalu suntuk untuknya. Masih banyak yang dia tak
ulang kaji lagi. Tarikh peperiksaan semakin hampir.
Azri tidak boleh menyalahkan sesiapa atas kelewatannya
itu. Dia sedar, dia sendiri yang bersalah. Bukan ibunya, kakak atau adiknya
juga bukan guru-guru sekolahnya. Cuma dia yang mencari masalah, dia yang khilaf
sendiri. Ikutkan sangat kata hati dan ajakan kawan-kawan. Lagilah, darah muda.
Semua yang susah, tak payah buat. Tinggalkan sahaja. Padahnya sekarang, dia
bermula dari kosong. Nasib baik otaknya tajam, senang nak faham. Tak
ketinggalan dorongan dan nasihat daripada keluarganya, terutama ibunya.
Menemaninya mengulang kaji pelajaran sehingga awal pagi.
‘Kasihan emak,’ terus dia menoleh memandang ke
arah ibunya yang tidur beralaskan tikar getah.
Apa nak disesalkan lagi. Dia kena tanggung sendiri. Awal
tahun, dia sering ponteng sekolah, ponteng kelas, membuli pelajar, tidak
menyiapkan kerja sekolah dan menganggu pelajar lain terutamanya pelajar
perempuan dan pelajar menengah rendah. Setiap minggu, namanya sahaja yang
menduduki carta teratas pelajar yang kena denda, yang sering menghadap pengetua
dan guru disiplin. Muka dialah juga yang selalu dipanggil oleh kaunselor
sekolah. Makin lama, semakin lali pula dia, langsung tak makan saman.
Dia dah tak hairan jika didenda, dirotan atau digantung
sekolah. Dia dah lalui itu semua. Sudah tidak hairan lagi. Pelajar tempatnya
bersekolah itu juga sudah dapat mengagak jika guru disiplin berdiri di depan
perhimpunan. Dia orang pertama yang dipanggil! Sampai ada yang menggelarnya ‘raja.’
Tanya sahaja nama Azri, semua orang akan mencebikkan
bibir memandang sinis. Kepala digelengkan. Itu di sekolah. Lain pula di
kampungnya. Wajahnya tak pernah menjejak tangga surau lagi. Ada tak ada pun,
adalah juga dia ke masjid. Itupun untuk menunaikan solat Jumaat. Jika tidak,
jangan harap dia berlembut hati pergi ke masjid atau surau. Orang kampung juga
seperti sudah tidak menasihatinya. Nakalnya dia masa itu, masyaallah…..
Dalam keluarganya, dia merupakan anak sulung lelaki dan
anak kedua. Dia mempunyai seorang kakak, seorang adik lelaki dan seorang adik
perempuan. Hanya dia yang tinggal di kampung bersama-sama dengan nenek dan
emaknya. Adik-beradiknya yang lain tinggal di asrama. Kakaknya merupakan
pelejar semester akhir A Level. Adik lelakinya belajar di Sekolah Menengah
Sains Banting dan adik perempuannya pula bersekolah di Sekolah Menengah Sains
Bagan Datoh.
Dia
seorang duduk di kampung. Itu pilihannya dahulu. Dia menolak tawaran belajar di
Yayasan Selangor dan tawaran ke Sekolah Seni Malaysia. Dia bukannya tidak
pandai. Dalam peperiksaan UPSR, dia mendapat 4A 1B sementara dalam PMR dia
mendapat 4A dan 4B. Dia meneruskan
pelajarannya di kampung, ke sekolah harian biasa. Alasannya, dia ingin menjaga
ibu dan neneknya di kampung. Padahal, semuanya tidak berlaku.
Masanya
dihabiskan bersama-sama kawan, melepak di surau atau padang futsal. Bukan untuk
tujuan bersolat berjemaah tetapi sebagai tempat lepak sahaja. Tiada yang
menegur perbuatan dia dan kawan-kawannya. Makan dan minum, dia langsung tak
kisah. Tak ada duit untuk membeli makanan atau apa sahaja yang diingini, rembat
sahaja pisang, kelapa atau kelapa sawit orang kampung. Jika tidak pun, curi
sahaja ayam kampung atau telur itik orang kampungnya.
Tak
serik-serik dia dimarahi atau dinasihati. Cuma dia sahaja tidak mahu mendengar.
Seakan-akan ada kuali tebal di telinganya yang menghalang nasihat dan teguran
orang kampung itu masuk ke dalam otak. Teguran ibu dan neneknya juga dipandang
sepi. Selalu sahaja dia melarikan diri daripada berjumpa dengan mereka.
Pergi
ke sekolah, ikut kata hatinya. Kalau tergerak nak datang, dia pergilah. Jika
tidak, melepaklah dia sepanjang hari bersama-sama dengan rakan-rakan sebaya
yang tidak bersekolah.
Telinganya
sudah lali dengan suara-suara yang menyindir dan memarahinya. Dia budak
jahatlah, anak derhakalah, anak kurang kasih sayanglah dan macam-macam lagi.
Dia dah biasa dengar. Memang tebal betullah telinganya dan dah keras betullah
hatinya. Tak lut oleh sebarang sindiran dan ocehan orang. Bagi Azri, apabila
mereka sudah penat nanti, berhentilah mereka bercakap tentang dirinya.
Itu
dahulu. Kini semuanya dia dah tinggal di belakang, sudah menjadi sejarah bagi
dirinya. Dalam hatinya, dah disimpan dalam peti besi yang kuncinya dah hilang.
Tak boleh dibuka lagi. Zaman dia tidak bertamadun dan jahiliah.
Semuanya
berubah dek satu peristiwa yang terjadi kepada dirinya. Dia masih ingat lagi
akan peristiwa itu. Peristiwa yang berlaku sebulan yang lepas. Hari kejadian
peristiwa itu ialah hari Ahad. Petang
Ahad sebenarnya. Waktu itu hujan rebut melanda kampungnya. Sebelum hujan, dia
melepak di rumah kawannya; Abu. Mereka
menonton perlawanan bola sepak. Entah bagaimana, hatinya tak tenteram. Gelisah.
Ini membuatkan dia tak senang duduk.
Apabila
azan Zuhur berkumdang dari surau kampungnya, dia beredar balik ke rumah.
Panggilan rakan-rakannya tak diendahkan. Dia terasa semacam sahaja, entah
mengapa dia tak tahu. Apa yang hatinya ingini
ialah dia nak balik ke rumah. Dua hari dia tak balik rumah.
Semasa
menunggang motosikal, hujan mulai turun dan semakin lama menjadi lebat disusuli
angin kencang, kilat dan guruh. Walaupun baru pukul 3 petang tetapi sudah seperti malam, petang itu. Kebetulan dia
tidak membawa baju hujan. Ini membuatkan dia berhenti berteduh di pondok
perhentian bas di simpang empat jalan menuju ke rumahnya. Dia memerhatikan
kawasan di sekelilingnya. Di simpang di depannya, dia ternampak seorang mak cik penjual kuih sedang
memegang payung sementara kaki wanita itu terbuka sedikit seolah-olah menahan
kaki payung daripada diterbangkan oleh angin kencang. Kasihannya….
Tangan
kanan mak cik itu seperti kelam-kabut menutup bekas plastik di atas meja.
Nampak sangat payung tersebut tak dapat melindungi tubuh wanita tua itu
daripada terkena hujan. Habis basah kuyup.
Tanpa
di sangka-sangka, angin tiba-tiba bertiup kencang dan menerbangkan payung yang
dipegang oleh mak cik penjual kuih itu. Meja pula jatuh telungkup ke bawah
menimpa tubuh penjual kuih itu. Dia yang ralit memerhatikan perbuatan mak cik
penjual kuih itu. pantas berlari ingin
menolong. Entah bagaimana hatinya terdetik untuk bangun dan berlari ingin
menolong. Selalunya, dia biarkan sahaja apa-apa sahaja perbuatan yang dianggap
merugikannya walaupun sesuatu kejadian buruk itu berlaku di depan matanya. Kali
ini, spontan sahaja dia berlari menyeberangi jalan.
“Mak
cik, mak cik…mak cik ok tak?” Azri mengangkat meja yang menimpa tubuh penjual
kuih itu.
Tiada
jawapan daripada mulut perempuan tua itu. Azri mendongakkan kepalanya.
Zupp!.........Dia tergamam. Kelu lidahnya untuk berkata-kata. Mereka
bertentangan mata dalam deraian air hujan yang menggila lebatnya. Bunyi
dentuman guruh dan kilat sambar menyambar langsung tak disedari.
Seraut
wajah yang dibasahi air hujan memandangnya sayu. Dia sendiri pun tak pasti sama
ada air yang mengalir itu air hujan atau air mata perempuan itu. Air matanya
sendiri mengalir tanpa dipinta, tanpa dapat ditahan. Laju melawan kederasan air
hujan yang menimpa pipinya.
Memang
terasa air matanya laju mengalir membasahi pipi. Rasa kesal, rasa sedih tak
dapat nak diungkapkan dengan kata-kata.
“Emak….”
Amat payah dia mengeluarkan sepatah kata itu. Lidahnya kelu tiba-tiba.
“Azri……”
“Maafkan
Azri, emak. Maafkan Azri….” Tubuh tua ibunya dipeluk erat. Tubuh yang disangka
perempuan tua penjual kuih. Langsung tak disangka, itulah tubuh ibunya. Tubuh
orang yang mengandungkannya selama sembilan bulan dan tubuh orang yang
menjaganya selama ini. Tubuh yang sudah dua hari tak dilihatnya.
‘Ya,
Allah, hinanya aku sebagai seorang anak tak mengenali emak sendiri! Hinanya aku tak menghiraukan emak sendiri
selama ini! Hinanya aku tak menolong emak bekerja!!! Alahuakhbar!” Hatinya
merintih sayu. Tubuh ibunya masih dalam pelukannya. Air mata dah tak perlu nak
diungkapkan bagaimana jadinya petang itu. Lebat turunnya membasahi pipi selebat
air hujan yang turun membasahi bumi.
“Emak,
maafkan Azri…”
“Azri,
kita balik dahulu, ya nak? Hujan ni. Nanti Azmi sakit. Jom..”
‘Oh,
Tuhan! Murninya hati seorang ibu yang
masih tetap mengutamakan kesihatan seorang anak walaupun ibunya itu baru
ditimpa kecelakaan. Apatah lagi, dia anak yang tak menghiraukan seorang ibu
selama ini!
“Maafkan
Azri…” Rintihnya sayu. Air mata menitis laju. Langsung tak dihiraukan,
biarkanlah……Biarkanlah jika ada orang yang nampak keadaannya ketika itu.
“Sudahlah,
mari kita balik. Jom…..”
“Maafkan
Azri, emak..”
“Azri,
emak sentiasa memaafkan anak-anak emak termasuklah Azri. Emak sentiasa menunggu
Azri balik, balik semula menjadi anak emak. Anak lelaki emak yang sulung.”
“Emak….”
“Jom
kita balik, hujan lebat ni. Tolong emak berdiri. Kaki emak sakit sikit ni. Tak
sangka meja plastik tu berat.”
Azri
berdiri dan perlahan-lahan membantu ibunya berdiri.
“Kaki
emak sakit…tolong papah emak ke pondok bas tu. Nak balik, hujan masih lebat.”
Azri memandang wajah ibunya yang sedang tersenyum. Jelas senyuman ibunya
walaupun dibasahi oleh air hujan. Spontan dia menguncup pipi ibunya.
Terasa
seperti ada kuasa mengalir ke tubuhnya. Senyuman ibunya seperti memberikan
kuasa luar biasa kepadanya untuk menolong ibunya itu. Azri memaut tubuh ibunya
itu.
“Jom
kita balik emak?”
“Kita
berteduh dahulu. Lagipun kaki emak sakit, terseliuh agaknya.”
“Tak
apa, biar Azri dukung emak balik. Kita tak boleh diamkan kaki emak. Kaki tu
kena rawat cepat, takut melarat nanti. Lagipun, hujan macam semakin lebat.”
Suaranya juga perlahan. Rasa sedih dan rasa kesal masih menguasai dirinya.
“Azri,
boleh ke nak dukung emak?”
“Insyaalah,
emak.” Azri membongkokkan badannya. Setelah pasti ibunya berpaut pada tubuhnya,
perlahan-lahan dia melangkah balik ke rumah. Hujan masih lebat tetapi lagi
lebat air matanya mengalir di pipi. Semasa kecil, ibunya selalu mendukungnya ke
mana-mana ibunya itu pergi. Ini baru sekali dia mendukung ibunya. Tak terbalas
rasanya jasa ibunya itu.
Azri
melangkah gagah pulang ke rumah. Tak terasa langsung berat tubuh ibunya di
belakang. Terasa lagi berat dosanya terhadap ibunya itu. Dosa nakalnya semalam
dan dahulu. Masih adakah lagi kemaafan atas dosa-dosanya itu?
Dia
langsung tak perasan, perempuan tua penjual kuih di simpang empat selama ini
ialah ibunya. Sering dia berulang alik melalui simpang empat itu. Simpang empat
utama di kampungnya. Memang dia tahu ada seorang perempuan tua menjual kuih di
simpang itu. Tapi matanya dah dibutakannya sendiri untuk melihat itu ialah
ibunya.
Banyaknya
perkara yang dia tak tahu. Banyaknya perkara yang dia tak ambil kisah. Rasa
sesal datang menimpa-nimpa. Rasa sedih tak tertanggung rasanya.
‘Oh,
Tuhan…maafkan aku. Berilah aku kekuatan untuk aku kembali menjadi anak emak. Oh
Tuhan, aku memohon belas ihsan-Mu. Berikanlah aku peluang untuk berubah,
menjadi anak emak yang dibanggakan, anak emak seperti yang emak harapkan,
keluargaku harapkan. Maafkanlah segala kekhilafanku selama ini.’ Perlahan-lahan
dia mengesat air mata di pipinya dengan bahu.
Tergambar
pada fikirannya, wajah-wajah ahli keluarganya. Wajah ibu, wajah nenek, wajah
kakak dan wajah adik-adiknya. Wajah-wajah yang sentiasa menasihatnya. Juga
wajah-wajah guru dan orang kampung. Banyaknya kesalahan yang dilakukannya.
Mampukan dia berubah? Diterimakah penghijrahannya nanti? Mahukan mereka semua
memaafkannya? Sepanjang perjalanan, pelbagai persoalan tanpa jawapan
mengiringinya pulang.
Pulang
dia sebagai Azri Azfar bin Mohd. Azfar yang baharu.
“Allahuakhbar…alhamdulillah…’Terdengar
perlahan suara ibunya di belakang.
“Ibu,
tahan tak sakit tu?” Azri menaikkan tubuh ibunya.
“Emak
tak apa-apa. Takut Azri pula yang tak larat dukung emak balik ni?” Kasih
seorang ibu memang kasih yang sejati.
Kasih orang yang melahirkannya. Kasih yang tak ada tolok bandingnya. Hanya ada
seorang ibu di dunia ini. Tak ada dua dan tak akan ada gantinya. Dia yang lupa
akan ibunya itu. Memang dia anak yang tak berguna!
“Insyaallah,
emak. Maafkan Azri ya? Azri langsung tak hiraukan emak selama ini. Azri biarkan
emak sendiri, Azri lupa janji Azri nak
jaga emak. Nak jaga nenek. Azri minta
maaf.” Air mata mengalir tanpa dapat ditahan. Tersedu-sedu sepanjang perjalanan
balik.
“Azri,
sudahlah, Emak dah maafkan semuanya. Emak nak, Azri berubah selepas ini, ya nak?”
Kepala
spontan dianggukkan.
“Emak
dah tua, tak tahu masa bila dijemput Tuhan. Tetapi Azri muda lagi, masih banyak
lagi yang Azri boleh buat untuk baiki diri. Emak harap, berubahlah Azri. Nenek,
kakak, adik-adik tunggu Azri. Kami semua sayang
Azri. Ganti arwah ayah, ya…” Suara ibunya semakin perlahan.
Terasa
pautan tangan ibunya erat. Terasa seperti memberinya semangat. Semangat untuk
berubah, berubah untuk menjadi anak yang baik. Alangkah berdosanya dia tak
mendengar kata-kata ibunya selama ini. Terasa diri menjadi anak yang tak
berguna. Abang dan adik yang tak ingat
keluarga, jadi cucu yang melupainya neneknya.
“Azri,
tanpa ayah bukan bermakna Azri tiada dia langsung di sisi Azri. Arwah ayah
sentiasa ada untuk mendoakan kita semua. Malah kalau Azri fikirkan, arwah ada dalam
diri Azri. Sentiasa ada melihat kita. Cuma arwah ayah sudah di dunia lain.
Dunia yang kekal abadi. Emak bukan nak menakutkan Azri tetapi sekarang Azrilah
yang menjadi ketua keluarga kita. Menggantikan arwah. Azri anak lelaki sulung, anak yang emak harapkan
untuk menjaga kami semua. Emak harap Azri akan berubah.” Suara ibu walaupun
perlahan tetapi terasa kuat menerpa gegendang telinganya.
“Insyaalah,
emak. Emak doakan ya?”
“Alhamdulillah.
Emak akan sentiasa mendoakan Azri. Emak doakan Azri sihat, selamat, murah
rezeki, berjaya dalam pelajaran dan menjadi anak yang soleh. Jadi insan yang
beragama. Hidup kita tak mewah, sederhana. Sebab itu, emak nak Azri berubah.
Tak nak menjadi miskin. Sudahlah miskin harta, miskin ilmu juga.” Terasa
bahunya seperti ditepuk perlahan.
“Insyaallah,
emak. Azri cuba yang terbaik. Doa emak menjadikan Azri bersemangat untuk
berubah.” Tekadnya jitu.
“Alhamdulillah.
Hem, tengok depan tu? Macam ramai sahaja yang menunggu kita pulang?”
Azri
mendongakkan kepala. Kelihatan nenek, kakak dan adik-adiknya melambai-lambaikan
tangan kepada mereka. Senyuman pada wajah mereka begitu membuatkan dia semakin
cepat melangkah ke hadapan. Dia tak akan menoleh ke belakang lagi. Dia akan
tinggalkan dirinya dahulu di belakang.
Mulai
hari itu, dia banyak menghabiskan masa di rumah dan di sekolah. Tidak
ketinggalan juga dia membantu ibunya berniaga kuih. Dia menghantar kuih-muih ke
kedai di kampungnya dan di pekan Sabak Bernam.
Langkah
pertama yang dibuatnya selepas dia insaf segala perbuatannya adalah dengan
memohon maaf kepada semua orang yang pernah dia buat salah. Petang kejadian
yang menimpa ibunya itu, terus dia memohon maaf daripada keluarganya dan orang
kampung. Tangisan kegembiraan ibu, nenek dan adik-beradiknya petang itu membuatkan
dia bersemangat untuk berubah.
Tak cukup dengan itu, dia membuat kejutan di
sekolah. Dia tampil dalam perhimpunan rasmi sekolahnya memohon maaf segala
perbuatan salah lakunya. Sepanjang minggu itu, agenda utama Azri adalah meminta
maaf dan restu untuk dia berubah.
Betul
kata ibunya, dia tidak bersendirian. Masih ramai yang mahu berkawan dengannya
dan masih ramai yang menyayanginya. Ramai yang inginkan dia berubah.
Mulai
hari itu juga, 2 Julai, dia sudah
menjadi Azri Azfar yang baru. Azri yang mendengar kata, Azri yang menyiapkan
kerja sekolah, Azri yang rajin menolong keluarga dan orang lain. Seorang Azri yang mengulang kaji pelajaran dan paling
utama Azri yang tak tinggal solat.
Tiada
lagi kedengaran namanya dipanggil oleh guru disiplin atau kaunselor sekolah. Tiada
lagi kawan-kawan dan guru-guru yang merungut tentang dirinya. Memang dia
betul-betul sudah berubah.
“Kakak,
untung ya, dapat belajar kat sini? Duduk
kat bandar, dapat duduk di asrama yang selesa, dapat biasiswa dan dapat belajar
ke luar negara.”
Azri
menoleh ke belakang. Ibunya di sebelah turut menoleh. Tumpuan mereka kepada
Adlie, adiknya yang bongsu.
“Adlie,
kakak duduk kat tempat ini hasil kerja keras kakak selama ini. Kakak orang
perempuan macam emak, nenek dan Khaleeda. Kami semua kena kuat semangat dan
kerja keras untuk berjaya. Bukan macam abang dan Adlie; orang lelaki. Tuhan dah
beri hadiah kepada setiap orang lelaki, Tuhan beri sembilan akal dan satu
nafsu. Kami orang perempuan ni diberi terbalik. Sembian nafsu dan satu akal.”
Kakaknya Diba memeluk erat bahu adik bongsunya dan menepuk perlahan bahunya
dari belakang. Dia menoleh ke belakang.
“Apa
maksud kakak?”
“Orang
lelaki ni dah semula jadi orang pandai. Tuhan dah beri hadiah akal fikiran.
Kalau faham semasa belajar dalam kelas sahaja dah boleh lulus periksa. Kalau
ikut kelas tambahan dan buat kerja rumah, dah boleh dapat kepujian. Kalau
tambah belajar sendiri kat rumah, buat latihan dah boleh dapat keputusan
cemerlang. Senang-senang sahaja dapat A+. Tapi, orang perempuan macam kakak ni,
kena belajar sungguh-sungguh, selalu kerja keras untuk dapat kedudukan macam
kakak sekarang.”
Kata-kata
itulah yang menjadi perangsang kepada Azri untuk berubah. Nasihat seorang kakak
kepadanya, adik perempuan dan adik lelaki semasa dalam perjalanan menghantar
kakaknya itu ke KLIA. Kakaknya akan melanjutkan pelajar ke United Kingdom dalam
bidang farmasi setelah berjaya menamatkan A
Level di Intec; International
Education Center.
“Wei,
Azri. Kau tak nak ambil gambar ke? Boleh kita letak dalam fb, beri orang kampung tengok.” Suara kawan serumahnya, Azman mengejutkanya.
“Allahuakhbar…”
“Kau
kenapa? Tak sihat?”
“Aku,
ok. Teringat kisah dulu-dulu, semasa aku
tak sedar diri lagi.” Azri menggenggam salji dan membalingkannya ke arah
kawan-kawannya. Azman, Danial, Umar, Nathan dan Goh Kang Li. Bertempiran
kawan-kawannya itu menyelamatkan diri. Sejuk!
“Hoi,
sejuk ni. Main kasar nampak! Jom kita lawan siapa lebih hebat. Kita buat orang
salji, kemudian kita ambil gambar dan hantar ke kampung. Kita beritahu kat keluarga
kita, kita sihat. Kita hantar kepada adik-adik kita, seronoknya main salji di
sini. Biar mereka terbakar semangat, belajar bersungguh-sungguh dan ikut kita
nanti!” Azman menjerit dari sebalik pokok.
Azri
tersenyum. Dia bukan Azri Azfar yang dahulu. Kini, dia ialah pelajar tahun
akhir dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Purdue University, Amerika Syarikat.
Masa
begitu cepat berlalu. Masa tidak menunggu kita. Kita yang kena mengejar masa
terutamanya untuk menuju ke arah kebaikan. Kesilapan masa dahulu tidak
menjadikan dia seorang yang lemah selamanya malah membangunkan dia daripada
lena yang panjang. Mujurlah dia masih mempunyai keluarga. Keluarga yang amat
menyayanginya.
Kita
tak perlu membayar dengan harga yang mahal untuk berubah. Kesedaran dan tekad
yang jitu akan membuatkan kita berjaya. Alhamdulillah, dia sedar dan diberi
hidayah. Kasih sayang keluarga yang sejati, kasih yang tak bertepian.
TAMAT
No comments:
Post a Comment