Tuesday, 14 October 2014

NOVEL : Part 1 : Masih Ada Yang Sayang


NOVEL : Part 1 : Masih Ada Yang Sayang
Bab Satu
            Mata dipejam buat seketika. Mengira nombor satu persatu. Sampai ke angka lapan, mata dibuka. Pemandangan masa sama. Sekumpulan kanak-kanak bermain bola sepak sambil ketawa riang. Seronok jadi kanak-kanak. Tak perlu fikirkan masa depan, tak perlu fikirkan masalah. Janji dapat bermain, makan, tidur dan pergi sekolah dah cukup. Kehidupan yang pastinya semua orang akan alami.
            Sekumpulan kanak-kanak itu sepertinya. Tak punya ayah atau ibu, atau ibu dan ayah. Mereka masih boleh bergembira. Dahulu, dia pun begitu. Dah  biasa tidak berayah dan beribu. Sedari kecil sudah membiasakan diri tanpa kasih sayang ibu dan ayah atau keluarga. Dia sebatang kara di dunia ini. Keluarganya, kanak-kanak itu, umi dan abi juga abang Hazin dan abang Haziq.
            Namun sudah dua tahun dia keluar dan tidak tinggal di rumah itu. Rumah Anak Yatim Darul Insan. Dah cukup umur, dia perlu keluar. Dua tahun juga dia tak kembali ke rumah itu. Bukan salah sesiapa, tetapi dia yang sedar diri dan keluar dengan rela hati. Abi dan Umi selalu mengajaknya tinggal bersama-sama mereka. Begitu juga dengan abang Hazin dan abang Haziq. Namun dia enggan. Dia tak mahu menyusahkan sesiapa lagi dan dia tak mahu disalah anggap lagi. Biarlah dia susah senang sendiri. Apa sahaja tindakan dan perbuatan, dia yang akan tanggung segala kesannya. Lebih baik begini daripada menyusahkan orang lain.
            “Lama dah sampai? Mengapa tak terus ke rumah?”
            Spontan dia mendongakkan kepala. Bibir terus tersenyum. Tangan segera dihulur dan dicium penuh takzim tangan yang pernah menyuapkan nasi ke mulutnya. Tangan seorang ibu yang penuh kasih sayang menyayangi tanpa rasa ingin dibalas. Ikhlas.
            “Takut tersadai lama kat teksi tadi umi. Jalan tadi agak sesak sedikit, Nak balik ke sini nanti takut tak sempat. Umi sihat?” Dia mencari alasan, tapi memang sebenarnya itu yang terjadi tadi. Tak mungkin dia boleh berada di dua tempat yang berbeza dalam masa yang singkat.
            “Alhamdulillah, Umi sihat. Intan tengok sendirikan, umi sihat?”
            “Alhamdulillah, syukur.” Terus dipeluk erat wanita yang sudah dianggap sebagai ibu itu. Sejak umurnya tiga bulan, umi yang menjaganya.
            “Abi?”
            “Sihat. Kami cuma rindu sahaja dengan Intan. Nanti ikut balik ya?”
            “Err…maaf umi, Intan tak boleh lama ni, umi. Nanti kawan ambil. Esok Intan ada kelas sampai ke petang.” Cepat Intan memberi alasan.
            ‘Maafkan Intan,umi…..’ tak terluah kata maaf buat umi tercinta. Dia tak punya kekuatan untuk balik. Ada janji yang perlu ditunaikannya. Dia tak mahu dianggap sebagai seorang yang tak tunai janji. Lagipun, dia tak nak bermasam muka dengan sesiapa. Biarlah dia ramai kawan bukan ramai musuh. Hidup sebatang kara di dunia ini memerlukan orang lain yang boleh membantu di kala susah. Sekurang-kurangnya, ada orang yang mahu mendengar dia bercerita.
            “Selalu ada sahaja alasan. Tak apalah, nanti kita makan bersama.”
            “Insyaallah, umi. Abi mana?”
            “Ada kat pejabat, ada sebuat pusat tuisyen tu nak buat kerja kebajikan esok. Itu yang abi sibuk nak pastikan tiada masalah, nak pastikan semua tak ada masalah.” Umi mengelus lembut bahunya.
            “Abang Hazin tak balik?”
            “Esok katanya nak balik. Katanya ambil cuti dua hari, saja nak berehat.”
            “Nanti sampaikan salam Intan kepada abang Hazin, ya umi?”
            “Insyaallah, mengapa tak balik sahaja? Nanti boleh sahaja abang Hazin hantar balik pergi asrama. Shah Alam dengan sini bukannya jauh sangat? Lagipun, esok Maria nak datang sama. Ramailah nanti rumah kita. Kita kumpul ramai-ramai, masak sama-sama, makan ramai-ramai. Tentu seronok. Balik ya?” Umi masih tak putus asa memujuknya.
            “Maaf, umi. Malam ada toturial. Tak boleh tuang sebab semester ni dah final.”
            “Ada sahaja alasan kamu ni ya Intan. Tak apalah, umi faham.”
            Segera dipeluk erat wanita yang banyak berjasa itu. Apakan daya, selalu sahaja dia yang meminggirkan diri daripada kasih sayang keluarga penyayang itu.  Tapi dia tak ada pilihan, jika dia mahu abang Hazin dan abang Haziq bahagia, dia kena berkorban. Jauhkan diri daripada mereka. Elakkan balik ke rumah!
            “Abang, abang tak boleh bawa Intan payung abang tu bersama. Kalau dia ikut, Maria tak nak ikut. Abang pergilah sendiri.”
            “Maria, janganlah jadi budak-budak. Habis, Intan tinggallah seorang diri kat rumah.”
            “Bukan ke dia duduk kat asrama. Tinggal sahajalah di sana. Buat apa nak ikut sama. Abang, ini percutian keluarga kita. Maria tak nak nanti papa dan mama rasa tak selesa jika ada orang luar ikut sama. Rasa tak seronoklah. Kita-kira sahajalah yang pergi. Bukan lama pun...”
            “Maria,dia adik abanglah!”
            “Abang ni mengapa nak marah-marah. Kalau begini, batalkan sahaja percutian kita. Batalkan sahaja majlis pertunangan kita.”
            “Maria, kita dah kenal lama. Maria tahu abang sayang sangat dengan Maria. Janganlah buat begini. Dia adik abang. Umi dan abi tak ada, minggu depan baru balik.”
            “Hah, suruh sahaja ikut Hazin. Senang.”
            “Wei, no! Kami juga nak pergi bercuti. Mana boleh kacau plan kami. Dah awal-awal rancang.”
            “Aliza….bila sampai?”
            “Ni, baharu sampai.”
            “Mana Hazin?”
            “Kunci pagar. Wow, bercuti ke mana?”
         “London. Pergi tengok adik yang belajar di sana, kakak sekali nak beli barang majlis bertunang. Kau pula nak pergi ke mana?”
            “Hari keluarga abang Hazin. Habis Intan?”
            “Tinggal kat asramalah. Tiket untuk dia tak ada.”
            “Maria!”
            “Hah, mengapa pula? Salah ke? Mahal tau harga tiket tu?”
            “Bukan ke abang dah bagi duit?”
            “Abang, memanglah duit tu ada. Tapi tak ada tempat kosong dalam penerbangan pada hari itu? Nak buat bagaimana lagi?”
            “Biar betul? Jangan nak tipu abang?”
            “Abang ni. Tak percaya, tanyalah sendiri.Asyik nak menangkan Intan sahaja. Hati saya ni tak ada nak dijaga, langsung tak percayakan cakap-cakap saya ni. Geram tau!”
            “Tak payahlah gaduh-gaduh. Malu kalau budak-budak tu dengar. Intan biarlah duduk kat sini sahaja. Ramai kawannya, lagipun kan dia dah nak periksa. Janganlah dikacau. Nanti-nanti, dia boleh pergi sendiri.”  Aliza tersenyum sambil memeluk bahu Maria.
            “Hah, betul tu. Tak apa dia tinggal sekejab. Lagipun minggu depan umi dan abi balik. Hazin pun tak boleh nak bawa dia sebab kami semua naik bas ke Langkawi. Tak ada tempat. Ingatkan nak ajak dia tapi dah Aliza ni nak ikut sama, terpaksalah pilih.” Hazin menepuk perlahan bahu abangnya.
            “Intan…Intan…Abi panggil tu?”
            Terpinga-pinga Intan dibuatnya. Hilang bertempiran kenangan setahun lepas yang menyakitkan. Dia sedar akan diri sendiri, dia anak yatim piatu. Menumpang sementara di rumah anak yatim kelolaan umi dan abi. Juga menumpang kasih sayang umi, abi, abang Hazin dan abang Haziq. Dia bukan sesiapa kepada mereka. Tarafnya sama seperti penghuni Darul Insan. Dia sudah mengajar diri agar tidak mengharap…
            “Intan? Mengelamun lagi dia?” Dia tersenyum lebar melihatkan abi sudah di depannya. Tangan abi spontan mengelus perlahan kepalanya. Seperti selalu jika ingin memujuknya.
            “Sayang abi…”
            “Hah, dah lupa salam dengan abi?”
            “Maaf abi. Lupa. Itulah, siapa suruh tiba-tiba tegur Intan?” Tangan kanan abi digenggam erat.
            “Hah, tengok ni umi? Abang pula yang disalahkannya? Memang anak bertuah betullah Intan payung abi ini. Saja nak kenakan abi. Ada sahaja polah dia kalau tak kenakan abi. Hem.........”
            Umi terkekeh ketawa melihatkan abi cuba menarik telinga Intan.
Sedaya upaya Intan cuba melarikan diri. Takut dia nanti abi tarik ke bawah ketiak! Itu hukuman dia jika mengenakan abi. Bukan abi sahaja yang buat begitu, abang Hazin dan abang Haziq pun akan buat perkara yang sama. Like father like son!
            “Umi, tolong Intan……”
            Umi hanya ketawa. Abi masih cuba menangkapnya yang sudah berdiri di belakang umi. Nasib baik dia dapat melarikan diri tadi. Kasih sayang umi dan abi masih sama seperti dahulu. Maklumlah dia dijaga sejak kecil oleh mereka’ Lagilah umi dan abi tak ada anak perempuan. Penghuni lain Darul Insan diambil daripada umur 6 tahun. Darul Insan ialah sebuah rumah anak yatim yang mengambil kanak-kanak berumur 6 tahun sehinggalah 16 tahun. Matlamat utama umi dan abi adalah membantu anak-anak yatim meneruskan persekolahan mereka setelah menjadi anak yatim atau anak yatim piatu. Sudah lebih 20 tahun Darul Insan ditubuhkan, hanya dia seorang sahaja diambil ketika bayi.
            “Penat abi. Jom kita masuk. Lapar pula abi hari ini. Intan masakkan abi pajeri dan asam pedas ya? Lama dah abi tak makan masakan Intan. Beri umi rehat hari ini.” Abi mengelus kembali kepalanya. Spontan Intan memeluk pinggang abi. Terharu dan sebak. Apakan daya, dia lebih sayangkan abi sekeluargalah dia terpaksa menjauhkan diri.
            “Umi memang nak tunggu Intan masakkan umi asam pedas ikan pari. Umi dah sediakan semua bahannya. Mak Ton pun tolong tadi.”
            “Umi?”
            “Sedap Intan masak. Tinggal masak sahaja. Semua bahan dah umi dan Mak Ton sediakan. Perempuan sepandai mana pun mereka, mesti pandai memasak. Nanti suami sayang. Anak umi ni nak suami sayangkan tak nanti?”
            “Abi, tengok umi ini?” Abi hanya ketawa gembira. Memang riuh-rendah keadaannya jika Intan ada bersama. Ada sahaja yang membuatkan keadaan jadi begitu. Mereka sekeluarga memang selalu mengusik Intan.
            “Intan, jangan risau. Mak Ton tolong. Jom?”
            “Sayang Mak Ton. Terima kasih.”
            “Ton, jangan pula kamu yang memasaknya? Biar Intan yang masak.”
            “Ya, tuan haji. Saya nak goreng udang tempura dan ikan kering sahaja. Yang lain-lain tu, biar Intan payung ni yang masak. Nanti kita makan sama-sama. Lama dah kita tak makan masakan Intan. Entah sedap lagi ke tidak. Boleh Intan? Mak Ton masakkan udang tempura, Intan masakkan kami pajeri dan asam pedas.”
            “Yeah, sayang Mak Ton.” Segera Intan memeluk Mak Ton, tukang masak di Darul Insan. Memang Mak Ton tak akan sesekali lupakan makanan kegemarannya. Setiap kali umi dan abi datang menjenguknya di asrama, memang Mak Ton akan mengirimkan udang tempura dan sambal goreng.
            “Kamu ni Intan payung, kalau nak sayang Mak Ton hanya kalau ada udang tempura sahajalah?”
            “Mana ada Mak Ton. Semua Intan sayang.” Mereka melangkah masuk ke bahagian belakang bangunan Darul Insan yang menempatkan ruang dapur.
            “Hem, ini yang membuatkan Mak Ton semakin sayang Intan ni. Jangan lupa nanti tinggalkan Hazin dan Haziq sikit.”
            “Tengoklah Mak Ton.”
            “Mengapa cepat sangat nak balik? Tak sayang dengan kami lagi ke?”
            “Mak Ton tahukan mengapa Intan buat begitu?” Intan menoleh ke belakang. Umi dan abi masih di pondok bersembang dengan Pak Ali dan  Cik Sahak. Tukang kebun dan pemandu Darul Insan. Entah apa yang disembangkan oleh mereka, macam serius sahaja dia lihat dari jauh.
            “Mak Ton faham.”
            “Janji jangan cakap dengan abi dan umi?”
            “Yalah, Mak Ton janji.”
            “Kalau mereka tahu, Intan tak akan balik ke sini lagi?”
            “Ya, Mak Ton janji. Tapi selalulah balik Intan. Sekarang ni dah semakin jarang balik. Dah sebulan tak balikkan?” Mak Ton meletakkan kuali di dapur. Bersiap sedia untuk menggoreng udang  yang telah diperap. Patutpun dia tak nampak Mak Ton sejak sampai sejam lepas.
            “Banyak assignment Mak Ton. Lagipun Intan kerja sambilan kalau ada masa?”
            “Intan?” Spontan tubuhnya dipusing seratus lapan puluh darjah. Terkejut dia dengan tindakan Mak Ton.
            Spontan juga jari tangan menutup bibir. Ala, kan dah tercakap! Nasib baiklah dengan Mak Ton. Penyimpan rahsia terbesar dia.
            “Tersasul.”
            “Lebih baik Intan cakap dengan Mak Ton? Intan kerja apa?” Dagunya sudah didongakkan. Dah tak boleh lari jika Mak Ton buat begitu. Dah macam gaya macam kena soal siasat sahaja.
            “Mak Ton, minyak dah panas!”
            “Jangan nak tukar topik! Cakap!” Susah jika dah gitu gaya Mak Ton. Mesti Mak Ton nak tahu semuanya. Ala, buat apa nak takut, Mak Ton tu perahsia orangnya.
            “Syyy…………….perlahan sedikit. Nanti ada orang dengar.”
            Mak Ton menganggukkan kepala. Cepat Mak Ton memasukkan udang ke dalam minyak kuali. Perlahan dia menarik nafas. Cakap sahajalah. Bukan ke Mak Ton penyimpan besar rahsianya!
            “Intan kerja mana? Sempat ke belajar? Tak kacau masa belajar?”
            “Wow, satu-satu Mak Ton. Macam peluru terabur aje. Ok. Intan kerja dengan seorang mak cik ni. Mak Nap. Mak Nap berniaga nasi berlauk di pasar malam kat Shah Alam tu. Ada juga sesekali tolong dia di pasar malam kat Petaling Jaya dan Kelana Jaya. Waktu petang ke malam. Intan tolong kalau tak ada aktiviti kat kolej. Ada juga Intan masak satu, dua lauk. Dapatlah duit lebih.”
            “Habis kerja jadi tukang dobi tu bagaimana pula?”
            “Berjalan lancar. Malah ada dah pelanggan tetap.”
            “Hai, mesin basuh Mak Ton nampak berbaris kat pondok tu. Kedai dobi pun melambak kat kedai-kedai. Keluar pagar je dah kedai dobi.”
            “Mereka tak pernah susah sebelum ini. Ada pembantu rumah di rumah. Kedai dobi pula tu kena jalan bawa baju kotor. Tu yang ramai hantar kepada Intan. Intan ambil dan hantar ke bilik. Siap lipat dan gosok sekali. Alhamdulillah, semakin ramai yang hantar kepada kami. Memang berbaloilah buat kerja ini, walaupun penat sikit. Tapi setakat ini, ok. Tak ada masalah kepada Intan atau kawan-kawan Intan yang tolong. Keputusan kami, ok.”
            “Sempat ke Intan nak buat kerja itu semua?”
            “Intan dah ada pembantu, Mak Ton. Orang susah macam Intan semua. Duit biasiswa tu manalah nak cukup. Duduk kat tengah bandar. Semua benda mahal. Sekurang-kurangnya apabila kerja dengan Mak Nap, lepas juga duit makan. Dapat juga simpan sikit. Masa susah-susah nanti tak risau, ada duit simpanan. Boleh juga tolong kawan-kawan yang hidup susah macam Intan ni. Nanti kalau ada rezeki, kena belajar jauh. Sebab itu, seboleh mana, Intan nak kumpul duit. Kena juga berjimat cermat. Beli barang-barang yang perlu sahaja. Lagipun Mak Nap tu dah anggap Intan macam anak dia. Tak berkira sangat orangnya. Macam Mak Ton juga. Sebab itu, Intan jarang balik ke sini. ” Intan tersenyum meningatkan seraut wajah Mak Nap yang baik hati.
            “Buatlah apa yang baik Intan. Mak Ton doakan Intan tabah hadapi semua dugaan ini. Mak Tak nak tolong pun, tempat Intan jauh dari sini.”
            “Doa Mak Ton tu pun dah cukup. Sayang Mak Ton….” Sekali lagi Mak Ton dipeluk erat. Walaupun ada orang yang cuba menjauhkan dirinya dengan umi dan abi juga abang sesusuannya itu, namun Intan masih ada Mak Ton, Cik Sahak dan Pak Ali. Mak Nap lagi.
            “Mak Ton akan sentiasa doakan yang baik-baik untuk Intan. Kalau tak sempat nak balik, jangan lupa sms....wassup     Mak Ton. Fb pun ok juga. Ada masa kalau sunyi waktu malam atau waktu sedih-sedih tu, skype je Mak Ton. Boleh kita sembang-sembang. Ke mana Intan nak pergi, janji jangan lupakan Mak Ton dan Pak Sahak ya?” Intan terus memeluk wanita yang baik hati itu. Bertuah dia ditempatkan di rumah anak yatim itu selepas ibu bapanya meninggal dunia dalam kemalangan selepas dia dilahirkan. Masih ada orang yang sayang, rupanya.
            “Memang canggihlah Mak Ton ni. Bila beli?”
            “Haziq beri laktop lama dia kepada kami. Diajar sekali bagaimana nak guna. Tapi waktu malam ya?”
            “Beres Mak Ton. Sedapnya udang ni?”
            “Makanlah Intan. Tadi abang Sahak beli lebih untuk Intan. Nanti nak bawa balik pun ada.” Tersenyum Intan memandang wajah Mak Ton yang turut tersenyum memandangnya itu. Selain umi, abi, abang Hazin dan abang Haziq, Mak Ton dan Pak Sahak juga sedari dahulu menjaganya dan mencurahkan kasih sayang yang tak berbelah bagi kepadanya.
            Cuma sejak tahun lepas sahaja dia makan hati. Kedatangan Maria dan Aliza sebagai tunang abang Hazin membuatkan dia menjauhkan diri daripada abi sekeluarga. Biarlah, memang dia anak yatim piatu. Sedar diri dia seorang diri di dunia ini. Dia perlu berdikari dan meneruskan kehidupan. Sebab itu dia berusaha keras mencari pendapatan sampingan. Walaupun abi, umi, abang Hazin dan abang Haziq tak lupa menghulur duit setiap kali dia balik, tapi sampai bila dia nak mengharapkan ehsan orang? Dia perlu cari sendiri dan simpan untuk kegunaan semasa susah. Lambat laun nanti kak Maria dan kak Aliza akan menjadi menantu abi dan umi, tentu keadaan semakin sukar nanti dia nak rapat dengan keluarga itu. 

Memang Intan tak faham mengapa kak Maria dan Kak Aliza membencinya sejak awal pertemuan mereka. Dia dilayan baik di depan abang Hazin, abang Haziq, umi dan abi. Tetapi di belakang mereka, terus dia disindir, dimarah tanpa sebab dan dipukul. Kalau dia laporkan memang dah jadi kes dera. Tetapi dia tak mahu keruhkan keadaan. Dia nampak abang Hazin dan abang Haziq sayang sangat kepada tunang mereka. Dia orang luar, dia tak akan kacau keluarga baik yang telah menjaganya sejak kecil. Dia dah hampIr 19 tahun, dah matang fikiran dan dah lama berdikari. Apalah sangat dengan dugaan yang diberi oleh tunang abang susuannya itu.
            “Intan, sedapnya bau?”
            Mengelamun, mengelamun juga tetapi kerja beres. Itu kelebihannya.
            “Bau aje Mak Ton, rasa entah apa-apa.” Intan melihat Mak Ton merasa kuah asam pedas yang sedang menggelegak di periuk besar itu.
            “Seharum bau sesedap itu juga rasanya asam pedas ini. Seperiuk besar tapi macam biasa, tetap sedap! Inilah Intan payung anak Mak Ton…” Erat pelukan Mak Ton membuatkan Intan tersenyum lebar. Rupanya, masih ada yang sayang…..
            Intan turut memeluk Mak Ton. Memang Mak Ton menyayanginya sebab perkahwinan Mak Ton dan Pak Sahak tidak dikurniakan cahaya mata. Kepada dialah mereka mencurahkah kasih sayang.
            “Terima kasih, Mak Ton.”
            “Sama-sama. Well done, Intan. Good girl. Muah…muah…muah…..” Tak sempat nak thouching-thouching, dah Mak Ton membuat lawak antarabangsanya. Sampai sakit perut ketawa dibuatnya.
            “Jadilah ketawa tu. Jom sambung masak. Nanti tak sempat Intan nak jamah, dah kawan Intan tu datang jemput. Lepas zuhurkan dia datang macam selalu?:” Mak Ton sudah kembali menghadap kuali.
            “Mak Ton nak goreng semua ke sayur ni?”
            “Hah, semua. Guna kuali besar tu.”
            Intan menarik nafas panjang. Entah berapa banyak kobis, lobak merah dan cendawan digunakan. Penuh dua besen sederhana besar. Semua kobis ada. Kobis biasa, kobis bunga dan kobis hijau. Brokoli.
            “Adik-adik Intan tu dah mula suka makan sayur. Habis semuanya nanti. Goreng sahaja. Kalau lebih pun tak apa, petang nanti tak perlu nak masak sayur banyak. Dah ada satu menu. Tambah aje sayur lain.”
            “Ini memang kenduri nampak gayanya?”
            “Memang pun hari-hari kita kenduri, Intan. Dah bertambah adik-adik Intan. Semua tengah membesar, tengah sedap makan.”
            “Bantai ajelah, Mak Ton ya?”
            “Hah, bantai sahaja. Dah masak nanti, sedaplah tu. Siapa komplen, masak sendiri.” Senang sahaja Mak Ton jawab jika ada yang tak puas hati dengan masakannya. Tetapi selalunya tak ada yang komplen masakan Mak Ton. Memang gerenti dijamin sedap.
            “Jangan nak menyanyi kat dapur, nanti dapat suami tua!” Cepat dia menutup mulut. Tu lah jika selalu sangat nak menyanyi, tak kira tempat dia nak menyanyi. Kuat atau perlahan sahaja suaranya tengok keadaan dan tempat.
            “Sorry, Mak Ton. Tersasul…..”
            “Ingat nasihat Mak Ton tu.”
            “Tapikan Mak Ton, kalau dapat suami tua ok juga.” Intan tersengih sendiri melihatkan perubahan wajah Mak Ton.
            “Apa dia Mak Ton tak dengar kata-kata Intan tu? Kalau dah tua ganyut pun nak terima? Tu ramai kawan abi dan umi tu dah tua. Ramai pula yang duda tu. Boleh je Mak Ton pelawa mereka supaya hantar pinangan. Nak?” Bulat mata Mak Ton memandangnya.
            “Ala, Mak Ton ni? Takkan Mak Ton nak menantu yang lebih tua daripada Mak Ton? Maksud Intan, yang lebih tua daripada Intanlah. Lebih lima tahun ke?” Tersenyum dia mendengar sendiri kata-katanya. Mak Ton turut juga tersenyum.
            ‘Ade ke orang yang nakkan dia sebagai isteri nanti?’
            “Terkejut Mak Ton dibuatnya. Kalau Datuk, Tan Sri atau Dato’ Seri tu tak apakan juga Intan?” Mak Ton dah mula nak mengusiknya semula!
            “Tak naklah Mak Ton. Jadi bapa mertua tu tak apa.”
            “Pandaipun kamu ni Intan. Ingatkan pakai sapu licin sahaja, tak tengok kanan, kiri, depan, belakang, atas dan bawah aje kamu ni Intan?” Bergoyang tubuh montel Mak Ton ketawa sendiri. Intan pun turut ketawa.
            “Tak nak susahkan diri sendiri, Mak Ton. Tetapi jika dah takdir Intan begitu, siapa kita nak menolakkan? Selagi boleh elak, Intan tolak dan lari. Nanti-nanti Mak Ton tengok-tengokkan sekali jodoh Intan ya? “ Tangan ligat mengacau sayur dalam kuali seligat kata-kata yang keluar dari mulutnya. Cakap-cakap juga, tapi tangan mesti cekap bekerja. Jika tidak, sembang tak habis-habis ada yang mati kelaparan nanti.
            “Hah, bukan sekarangkan?”
            “Mestilah bukan sekarang Mak Ton. Intan tak habis belajar pun lagi. Baharu satu tingkat. Itupun tak lepas lagi. Ni nak pergi belajar kena dua tempat lagi.” Siap sayur sekuali! Kan betul, sembangnya tak habis lagi!
            “Betul tu. Belajar sampai habis, kerja dahulu. Mak Ton ni tak tahu lagi sampai mana umur Mak Ton. Jika Mak Ton masih hidup lagi, selagi mampu Mak Ton nak tolong Intan. Tetapi jika ditakdirkan tak panjang mana umur Mak Ton dan abang Sahak, siapa nak tengokkan Intankan? Umi, abi, abang Haziq dan Hazin nanti akan bertambah keluarga. Nampak gaya bukannya suka sangat kat Intan. Sebab itu dengar nasihat Mak Ton ini, habiskan belajar, cari kerja yang bagus baharulah jika ada jodoh kahwin. Jika ditakdirkan semasa belajar berkahwin, ingat jangan sampai merosakkan masa depan Intan.” Sekali lagi tubuhnya dipeluk erat.
            “Insyaallah Mak Ton, Intan akan ikut nasihat Mak Ton. Nanti-nanti Intan seorang diri, kalau tak habis belajar dan tak kerja siapa nak tolong Intan. Intan tak nak abi sekeluarga serba salah dengan adanya Intan dalam kalangan mereka. Tak nak Intan jadi sebab musabah perbalahan keluarga ini. Sekarang pun tak berani Intan nak rapat lagi dengan mereka. Tak tahulah mengapa kak Maria dan kak Aliza tak suka kehadiran Intan dalam keluarga abi.” Air mata ditahan daripada merembes keluar. Dia perlu kuat, dia tak mahu hanya sebab kecik dia menangis.
            “Biarlah, Mak Ton ada. Jangan sedih. Nasib baik dah siap masak. Jika tidak tentu garam tertumpah kat masakan. Kena darah tinggi semua orang yang makan nanti.” Dahinya dikucup lembut.
            “Mak Ton ni memanglah, tak sempat nak sedih-sedih dah terbantut.”
            “Eleh, macamlah Mak Ton baharu kenal Intan! Cengen sejak kecil….’
            Intan tersenyum lebar, air mata yang menitis perlahan dilap dengan hujung baju kemeja yang dipakainya. Baju ihsan abang Hazin dan abang Haziq yang telah dikecilkan. Daripada dibuang dan dijadikan lap, bermanfaat sekali dia pakai semula. Intan tak kisah sapa pun nak mengumpatnya atau mengatanya tentang pakaian sehariannya. Asal menutup aurat,dah memadai. Berkenaan baju inilah juga yang menjadi bahan sindiran kak Maria dan kak Aliza. Biarlah, selagi mereka nak mengatanya, dia biarkan sahaja. Nanti-nanti kalau dah penat, berhentilah mereka. Bila? Biarlah waktu yang menentukannya. Selagi boleh dielakkan daripada berjumpa dengan tunang abang Hazin dan Haziq, dia akan elak. Syukur, selama hampir setahun lebih ini dia berjaya mengelakkan diri daripada bertembung dengan kak Maria dan kak Aliza.
            “Mak Ton, terus masukkan dalam tray ke?”
            “Hah, terus masukkan. Buat macam selalu, dua bekas. Satu untuk adik-adik lelaki dan satu untuk perempuan. Hidangan kat meja utama tu buat dua mangkuk setiap satu. Yang lebih tu biarkan dalam periuk.” Mak Ton berhenti sebentar mengisi nasi ke dalam bekas semasa sedang menjawab pertanyaannya itu.
            “Buah tembikai ni?”
            “Potong kecil. Basuh dahulu. Buat juga dua bekas.” Terus sahaja Intan mencapai buah tembikai dan membawanya ke sinki untuk dibasuh.
            “Jangan lupa masukkan ke dalam atas meja tu. Nanti tak susah cari makan malam. Ada Mak Ton buatkan sambal udang. Cukup untuk Intan dan kawan-kawan makan.”
            “Ini yang membuatkan Intan saying sangat dengan Mak Ton ni. Muah….muah….” Intan membuat gaya flying kiss. Ketawa spontan Mak Ton dibuatnya.

            Biarlah selagi dia boleh ketawa dan gembira, dia akan ketawa dan gembira. Nanti-nanti jika dia seorang diri, takkan dia nak ketawa sendiri? Nanti entah apa kata orang melihatnya dia ketawa sendiri. Lagipun jikalau dia sedang bersedih, ada juga perkara yang boleh diingat untuk mengurangkan kesedihannya. Apa lagi cara yang boleh dilakukannya seorang diri untuk menghilang rasa sedih jika bukan dengan mengingatkan saat gembiranya dia seperti sekarang ini? Semoga tak banyaklah kesedihan yang perlu ditempuhnya nanti.

No comments:

Post a Comment